Bunga raya | |
---|---|
Bunga raya, Hibiscus rosa-sinensis. | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Angiosperma |
Klad: | Eudikot |
Klad: | Rosid |
Order: | Malvales |
Keluarga: | Malvaceae |
Subkeluarga: | Malvoideae |
Tribus: | Hibisceae |
Genus: | Hibiscus |
Spesies: | H. rosa-sinensis
|
Nama binomial | |
Hibiscus rosa-sinensis | |
Sinonim[1][2] | |
|
Bunga raya (Jawi: بوڠا راي ), bunga sepatu, kembang sepatu, kembang uribang atau kembang warawiri (nama botani: Hibiscus rosa-sinensis)[3][4][5][6] ialah spesies tumbuhan berbunga tropika genus Hibiscus dalam suku Hibisceae keluarga Malvaceae. Ia banyak ditanam sebagai tanaman hiasan di kawasan tropika dan subtropika, namun ia bertaburan asalnya di Vanuatu.[7]
Nama-nama bunga sepatu dan kembang sepatu datang daripada kelopaknya yang dibuat pewarna hitam menggilap kasut atau "sepatu".[8]
Nama-nama kembang uribang dan kembang warawiri meminjam daripada bahasa Jawa.[4][5] Perkataan uribang datang daripada nama worawari bang di mana bang dijejak daripada Jawa: ꦧꦁ bermaksud "merah".[9]
Hibiscus rosa-sinensis julung kali digambarkan pada 1753 oleh Carl Linnaeus dalam Species Plantarum.[10] Julukan spesifiknya rosa-sinensis secara terus bermaksud "mawar China", sungguhpun tumbuhan ini tidak berkait dengan mawar betul mahupun datang dari China.[11] Genus Hibiscus ada dalam suku Hibisceae dan subkeluarga Malvoideae keluarga Malvaceae.[12]
Pokok bunga raya kecil atau renek berbelukar dengan daun malar hijau yang tumbuh 2.5–5 meter tinggi dan 1.5–3 m lebar. Ia ada akar tunjang yang bercabang. Batang pokoknya tegak, hijau, berbentuk silinder dan berdahan.
Daun-daunnya ringkas dan disusun berselang-seli. Helai daunnya berbentuk bujur dan setangkup seperti telur, hujungnya runcing dan birainya bergerigi kasar dengan lebar 7–20 sentimeter. Permukaan helai daun ini berkilat dan licin, urat daunnya bercabang atau mencapah.[6][13][14] Stipul sisi yang bebas turut ada.
Bunga-bunga pokok spesies ini muncul tunggal di ketiak daun dari tangkai yang pendek atau sederhana panjang pada musim panas dan musim luruh. Bentuk kuntumnya setangkup, setiap kuntum ini beranggi lima yang selalunya berwarna merah dengan garis pusat 10–20 sm, ia ada cepu debunga merah berhujung jingga.[14] Banyak kultivar dan kacukan pokok berbunga pelbagai warna seperti merah, putih, merah jambu, jingga, kuning, kuning merah, biru dan ungu.[6] Beberapa pokok pula berbunga ganda (atau 'bunga susun').[15]
Pada dasar setiap kuntum bunga ada salut bunga yang berwarna hijau. Hujung tajam salutnya dipanggil kelopak. Apabila bunga raya mula kembang, ranggi bunganya akan mula tumbuh.
Setiap bunga raya mempunyai dua-dua bahagian jantan dan bahagian betina. Ovari dan bahagian betina lain bunga ini terletak pada struktur teras bunga: putiknya yang panjang dan bak salur. Lima titik "berbulu" pada puncak putik membentuk stigma, tempat di mana debunga dikumpul. Di tengah putiknya ada benang sari, iaitu salur di mana debunga bergerak turun ke ovari. Ovarinya terletak di dasar bunga, dan setiap bunga raya ada hanya satu ovari yang besar. Bahagian jantan bunga iaitu sulur bunga terdiri daripada filamen dan cepu bak batang. Setiap filamen berhujung dengan cepu debunga yang mengeluarkan debunga.
Buahnya jenis kapsul dengan panjang sehingga 3 sm, ia mengandungi biji benih yang bulat dengan garis pusat 3 milimeter.[6]
Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan beriklim tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau. Pelbagai kultivar, varieti, dan kacukan telah dihasilkan, dengan warna bunga yang pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata, dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.
Bunganya boleh dihancurkan dalam air dan dicampur dengan air limau nipis menjadi pewarna makanan dan minuman.[6]
Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India. Orang Cina juga menggunakannya untuk tujuan ini secara tradisi atau sebagai pewarna rambut hitam.[16]
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia sejak ia masih berupa entiti Persekutuan Tanah Melayu lagi. Bunga ini diperkenalkan ke Tanah Melayu pada abad ke-12, ia dipilih sebagai bunga kebangsaan pada 1958 oleh Kementerian Pertanian Malaysia daripada sebilangan bunga lain iaitu kenanga, melur, teratai, mawar, cempaka dan tanjung. Pada 28 Julai 1960, bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Lima kelopaknya melambangkan lima Rukun Negara Malaysia, dan warna merah kelima-lima kelopaknya melambangkan keberanian, perpaduan dan kepesatan pembangunan rakyat Malaysia.[17]
Satu kajian telah dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia berkenaan pemilihan bunga yang akan diangkat sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur. Walau bagaimanapun, kerajaan akhirnya membuat keputusan memilih bunga raya berdasarkan ciri-cirinya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh negara, dan yang paling penting ia belum menjadi bunga kebangsaan di mana-mana negara lain di dunia ketika itu. [17]
Berikut adalah beberapa variasi bunga raya:
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Bunga raya. |