Lava (Jawi: لاۏا ) atau lahar (Jawi: لاهر ) ialah cairan larutan magma pijar yang mengalir keluar dari perut bumi melalui kawah gunung berapi atau melalui celah rekahan bumi yang kemudian membeku menjadi batuan pelbagai bentuk. Semasa keluar dari lohong gunung berapi, lava merupakan cecair dengan suhu antara kira-kira 800 hingga 1,200 °C (1,470 hingga 2,190 °F).[1] Walaupun lava agak likat, dengan kelikatan kira-kira 100,000 kali lebih tinggi dari air, ia boleh mengalir agak jauh sebelum sejuk dan membeku, disebabkan sifat tiksotropi dan penipisan ricihnya.[2][3]
Sekiranya lava tersebut agak cair, lava akan meleleh jauh dari sumbernya membentuk aliran seperti sungai melalui lembah dan membeku menjadi batuan seperti lava ropi atau lava blok. Sekiranya lava agak pekat, lava tidak akan mengalir jauh dari sumbernya dan membentuk kubah lava serta pada bahagian pinggirnya membeku membentuk blok-blok lava tetapi suhunya masih tinggi. Apabila kedudukannya tidak stabil, asap panas terbentuk dari lava.
ʻAʻā (juga dieja aa, aʻa, ʻaʻa, dan a-aa) ialah salah satu jenis aliran lava asas. ʻAʻā ialah lava basalt dicirikan oleh permukaan kasar berkerikil terdiri daripada ketulan batu hangus. Lava ʻaʻā keluar pada suhu 1,050 hingga 1,150 °C (1,920 hingga 2,100 °F) atau lebih.[4][5] Permukaan aliran ʻaʻā longgar, pecab-pecah dan tajam menyebabkan kembara berjalan kaki sukar dan perlahan.[6] Perkataan jenis lava ini dari bahasa Hawaii bermaksud "bakar" atau "nyala";[7] istilah ini diperkenalkan dalam geologi oleh Clarence Dutton.[8][9]
Pāhoehoe (juga dieja pahoehoe, dari bahasa Hawaii [paːˈhoweˈhowe] bermaksud "lava licin"[10]) ialah lava basalt yang mempunyai permukaan licin, bergelombang, berlaun atau bertali-tali disebabkan pergerakan lava yang sangat cair di bawah kerak permukaan yang membeku. Istilah ini diperkenalkan dalam geologi oleh Clarence Dutton.[8][9]
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat ((tunas)) ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.