Pahamin Rajab | |
---|---|
Kelahiran | Pahamin bin Abdul Rajab 23 Februari 1946 |
Meninggal dunia | 8 Julai 2023 | (umur 77)
Sebab kematian | Serangan jantung |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Gardens of Peace, Five Oaks Lane, Chigwell, London |
Pendidikan | Ijazah Sarjana Muda Sejarah |
Pusat pendidikan | Universiti Malaya (UM) |
Pekerjaan | Penjawat awam, peguam, ahli perniagaan |
Tahun aktif | 1970–2023 |
Pasangan | Datin Zainab Mohamad (k. 1970–2023) |
Anak-anak | 6 (termasuk Chempaka Emalin dan Armin Baniaz) |
Keluarga | Azhar Sulaiman (menantu) |
Datuk Pahamin Abdul Rajab (23 Februari 1946 – 8 Julai 2023) merupakan seorang penjawat awam dan tokoh korporat Malaysia.[1] Beliau telah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia selama lebih 30 tahun.[2] Selain itu, beliau juga merupakan bekas pengasas bersama dan pengerusi syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.[3]
Pahamin dilahirkan pada 23 Februari 1946 di Kampung Badak, Bachok, Kelantan dan merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Semasa beliau dilahirkan, pendaftar tersilap membaca tulisan Arab dan tersalah catat nama bapanya, Razak, sebagai Rajab dalam tulisan Rumi, menyebabkan nama bapanya berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain.[1]
Beliau bersekolah rendah di Sekolah Melayu Badak di Bachok, antara 1952 hingga 1956 dan melanjutkan pelajaran ke Kelas Bahasa Melayu Khas (SMC) di Sekolah Inggeris Kamil Pasir Puteh antara 1957 hingga 1959. Pahamin kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kamil di Pasir Puteh dari 1960 hingga 1964. Pada tahun 1967, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Sejarah di Universiti Malaya (UM) dan menamatkan pengajian pada tahun 1970.[1]
Pahamin dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 24 tahun, dari 1974 hingga 1998.[4] Beliau kemudian menyandang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dari 1998 sehingga 2001 semasa pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.[5][6]
Beliau juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn Bhd dan Mediscreen Sdn Bhd. Pahamin juga menjadi tonggak utama dalam AirAsia bersama-sama Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun dan pernah menyandang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif dari 2001 sehingga 2008.[7][8]
Beliau berkahwin dengan Zainab Mohamad pada 1970 dan dikurniakan 6 anak – Chempaka Emalin, Armin Baniaz, Melor Edina, Rose Emini, Teratai Edithy dan Amnan Bazli. Beliau juga mempunyai 2 orang anak, Melati Enida dan Kenanga Elyzze, hasil perkahwinan keduanya..[1][9]
Pahamin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK), pada 8 Julai 2023 pada usia 77 tahun untuk menghadiri hari graduasi cucunya, Andika Rees Pahamin.[10][11] Jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gardens of Peace, Five Oaks Lane, Chigwell, London pada 12 Julai.[12][13]