Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Perjanjian Burney adalah satu perjanjian ditandatangani antara Siam dan Pihak British pada 1826. Ia mengakui tuntutan Siam keatas empat negeri Melayu utara iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Perjanjian ini selanjutnya menjamin pemilikan Pulau Pinang bagi British dan memberikan hak kepada British untuk berdagang di Kelantan dan Terengganu tanpa ganguan Siam. Keempat-empat negeri Melayu tidak diwakili dalam rundingan perjanjian ini.
Pada tahun 1909, pihak dalam perjanjian tersebut menandatangani satu perjanjian baru yang menggantikan perjanjian 1826. Perjanjian 1909, dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909, atau juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909, memindahkan keempat-empat negeri Melayu daripada Siam menjadi wilayah British.
Pengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan pendudukannya di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Henry Burney telah dihantar oleh Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan membuat perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan Siam dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai perdagangan, masalah pembahagian Takhta Sultan Ahmad Tajuddin dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam selama 6 bulan, Henry Burney berjaya mengadakan perjanjian pada 18 Jun 1826.