Nama alternatif | Ras Syamrah (Arab: رأس شمرة ) |
---|---|
Lokasi | Kegabenoran Latakia, Syria |
Wilayah | Hilal Subur |
Koordinat | 35°36′07″N 35°46′55″E / 35.602°N 35.782°E |
Jenis | penempatan |
Sejarah | |
Diasaskan | s. 6000 SM |
Ditinggalkan | s. 1190 SM |
Zaman | Neolitik–Zaman Gangsa Akhir |
Budaya | Kanaan |
Peristiwa | Kejatuhan Zaman Gangsa |
Perincian tapak | |
Tarikh penggalian | 1928–kini |
Ahli arkeologi | Claude F. A. Schaeffer |
Keadaan | puing-puing |
Hak milik | Awam |
Akses awam | Ya |
Ugarit (bahasa Ugarit: 𐎜𐎂𐎗𐎚, ʼUgart; أُوغَارِيت Ūghārīt atau أُوجَارِيت Ūǧārīt) dahulu merupakan sebuah kota pelabuhan yang kini terletak di utara Syria, di pinggir bandar Latakia. Ia ditemui pada tahun 1928 dengan teks-teks Ugarit. Puing-puing peninggalannya dipanggil Ras Syamrah[1] sempena tanjung tinggi lokasinya.
Ugarit dahulu mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Het. Ia kadangkala mengirimkan ufti ke Mesir, serta berjual beli dan menjalinkan hubungan diplomatik bersama Kiprus (dahulu dipanggil Alasyia) menurut catatan yang diperoleh dari tapak penggalian dan disokong oleh artifak tembikar Mikenai dan Kiprus yang ditemui sekali. Ugarit mencapai zaman kegemilangannya pada sekitar 1450 SM sehinggalah kemusnahannya sekitar 1200 SM. Ini mungkin disebabkan oleh Bangsa Laut. Kerajaan Ugarit merupakan satu daripada banyak lagi kerajaan yang jatuh semasa Kejatuhan Zaman Gangsa.
Ras Syamrah terletak di persisiran Laut Mediterranean, kira-kira 11 kilometer hala utara dari Latakia, berdekatan Burj Al-Qasab sekarang.
Ugarit semasa Zaman Batu merupakan kota yang penting dan kubu didapati dibina sebelum 6000 SM, namun kawasan kota tersebut mungkin pernah didiami sebelum itu lagi. Kepentingannya mungkin tertakluk kepada sifatnya sebagai sebuah pelabuhan dan pintu masuk untuk berdagang ke negeri-negeri di Sungai Furat dan Dajlah. Ugarit mengecap kegemilangan sekitar tahun 1800 dan 1200 SM, semasa ia menjadi sebuah negeri perdagangan, berdagang dengan Mesir, Kiprus, Aegea, Syria, Het, dan banyak lagi negeri di Laut Mediterranean timur.[2]
Artifak bertulis pertama yang menyebut nama Ugarit datang dari kota Ebla dari sekitar 1800 SM. Seni Ugarit banyak dipengaruhi Mesir. Bukti hubungan antara Ugarit dan Mesir (dan penarikhan tepat peradaban Ugarit) datang dari sebiji manik karnelian yang dikaitkan dengan firaun Senusret I, 1971–1926 SM semasa Kerajaan Pertengahan. Sebuah stele dan patung kecil daripada firaun Senusret III dan Amenemhet III juga ditemui. Akan tetapi, bila barangan ini dibawa ke Ugarit tidak diketahui. Surat Amarna dari Ugarit (s. 1350 SM) mencatatkan surat-surat daripada Ammittamru I, Niqmaddu II, dan permaisuri baginda.[perlu rujukan] Dari abad ke-16 hingga ke-13 SM, Ugarit selalu berhubung dengan Mesir dan Alasyia (Kiprus).[perlu rujukan]
Pada alaf kedua SM, penduduk Ugarit ialah bangsa Amori, dan bahasa Ugarit mungkin berasal daripada rumpun Amori.[3] Kerajaan Ugarit barangkali memerintah seluas kira-kira 2000 km2.
Mengikut catatan sejarah, Ugarit sepatutnya terletak berdekatan, tidak pun betul-betul di dalam Kerajaan Het.
Raja terakhir Ugarit dalam Zaman Gangsa, Ammurapi (sekitar 1215 ke 1180 SM), hidup sezaman dengan raja terakhir kerajaan Het, Suppiluliuma II. Tarikh sebenar beliau memerintah tidak diketahui. Akan tetapi, sebuah surat[5] daripada raja terselamat, di mana Ammurapi menekankan kedahsyatan krisis yang dihadapi banyak negeri Barat Jauh akibat serangan. Ammurapi merayu meminta pertolongan daripada raja Alashiya, menulis keadaan darurat yang Ugarit hadapi:
Esyuwara, wizurai besar Kiprus, membalas:
Manakala hal berkaitan musuh tersebut: orang dari negeri awaklah (dan) kapal-kapal awak sendiri (yang) buat ini! Dan orang dari negeri awaklah (yang) melakukan kezaliman ini...saya menulis untuk menyatakan awak dan melindungi awak. Berjaga-jagalah![6]
Pemerintah Karkamisy menghantarkan angkatan untuk membantu Ugarit, namun Ugarit dijarah. Sepucuk surat yang dihantar setelah Ugarit musnah berkata:
Apabila utusan awak tiba, tentera ditewaskan dan kota dijarah. Makanan kami di lantai membanting dibakar dan dusun anggur juga dimusnahkan. Kota kami dijarah. Ketahuilah ia! Ketahuilah ia![7]
Dengan mengkaji aras tertinggi peninggalan kota, ahli arkeologi dapat mengkaji perlbagai ciri tamadun Ugarit sebelum kejatuhan mereka, dan membandingkan artifak dengan budaya berdekatan untuk mendapat suatu tarikh. Ugarit juga mempunyai berbilang simpanan batu bersurat seperti perpustakaan penuh dengan maklumat. Aras kemudnahan peninggalan mengandungi tembikar dari Zaman Gangsa Yunani Akhir IIIB (s.1300–s.1200 SM), tetapi tiada dari ZGY IIIC (s.1200–s.1050 SM, rujuk zaman Mikenai). Maka, tarikh kemusnahan Ugarit adalah penting untuk menarikhkan fasa ZGY IIIC di tanah besar Yunani. Oleh kerana sebilah pedang Mesir dengan nama raja Merneptah ditemui di aras kemusnahan, 1190 SM dipakai sebagai tarikh permulaan ZGY IIIC. Sebuah batu bersurat kuneiform yang ditemui pada tahun 1986 menunjukkan bahawa Ugarit musnah setelah kemangkatan Merneptah (1203 SM). Ugarit telah dipersetuji musnah menjelang tahun kelapan Ramesses III (1178 SM). Kajian radiokarbon zaman kini, di samping tarikh-tarikh bersejarah dan gerhana pada 21 Januari 1192, menunjukkan tarikh kemusnahan Ugarit berada antara 1192 dan 1190 SM.[8]
Pertanyaan sama ada Ugarit dimusnahkan dahulu atau selepas Hattusa, ibu negeri Hit, masih diperdebatkan. Kemusnahan ia disusuli kejedaan penempatan. Pelbagai lagi penempatan di Mediterranean kucar-kacir ketika itu. Hal ini juga disebabkan oleh serangan Bangsa Laut yang penuh misteri ini.
Pemerintah | Tempoh | Butiran |
---|---|---|
Niqmaddu I | Tidak diketahui | Raja Ugarit pertama yang diketahui, didapati daripada cap yang bertulis "Yaqarum, anak kepada Niqmaddu, raja Ugarit".[9] |
Yaqarum | Tidak diketahui | Raja Ugarit kedua yang diketahui, didapati daripada cap yang bertulis "Yaqarum, anak kepada Niqmaddu, raja Ugarit". |
Ammittamru I | s. 1350 SM | |
Niqmaddu II | s. 1350–1315 SM | Sezaman dengan Suppiluliuma I dari Hit |
Arhalba | s. 1315–1313 SM | Sezaman dengan raja Mursili II dari Hit |
Niqmepa | s. 1313–1260 SM | Perjanjian dengan Mursili II dari Hit; Anak Niqmadu II |
Ammittamru II | s. 1260–1235 SM | Sezaman dengan Bentisina dari Amurru; Anak Niqmepa |
Ibiranu | s. 1235–1225/20 SM | Penerima surat Piha-walwi |
Niqmaddu III | s. 1225/20 – 1215 SM | |
Ammurapi | s. 1200 SM | Sezaman dengan Canselor Bay dari Mesir. Pemerintah terakhir Ugarit yang diketahui. Ugarit musnah pada zaman baginda. |
Jurutulis Ugarit nampaknya telah membuat sebuah "abjad Ugarit" sekitar tahun 1400 SM dengan 30 huruf, setiap mempunyai satu bunyi, ditulis pada batu tanah liat. Walaupun ia kelihatan seperti tulisan pepaku, huruf-huruf ini tiada kaitan dengan tulisan Mesopotamia; sebaliknya, mungkin ia ada kaitan dengan abjad Phoenicia yang diturunkan daripada tulisan Mesir. Walaupun huruf-hurufnya tidak sama dengan abjad Phoenicia, turutan abjad lazim (seperti dalam abjad Rumi A, B, C, D, dll.) menunjukkan persamaan antara kedua-duanya, menunjukkan bahawa sistem tulisan Phoenicia dan Ugarit bukan benar-benar ciptaan sendiri.[10]
Kewujudan bahasa Ugarit dibuktikan dalam teks-teks dari abad ke-14 hingga ke-12 SM. Ugarit biasanya dikelaskan sebagai sejenis bahasa Semit Barat Laut dan berkait dengan Ibrani, Aramia, Phoenicia, dan sebagainya. Ciri-ciri tatabahasanya amat serupa dengan yang ada dalam bahasa Arab Klasik dan Akkadia. Ia mempunyai dua gender (maskulin dan feminin), tiga kasus untuk kata nama dan kata adjektif (nominatif, akusatif, dan genitif); tiga nombor: (mufrad, duaan, dan jamak); dan aspek kata kerja serupa dengan yang ada dalam bahasa-bahasa Semit Barat Laut lain. Urutan perkataan dalam Ugarit ialah kata kerja–subjek–objek, subjek-objek-kata kerja (KSO)&(SOK); dimilik–pemilik (NG) (unsur pertama bergantung pada fungsi dan yang kedua selalu dalam kasus genitif); dan kata nama–kata adjektif (NA) (kedua-duanya dalam kasus sama (sepadan)).[11]
Selain persuratan diraja dengan golongan diraja negeri jiran, batu bersurat yang ditemukan dalam perpustakaan kota Ugarit juga mengandungi teks kepercayaan agama yang ditulis dalam bentuk puisi, surat-surat, dokumen perundangan seperti pertukaran tanah, beberapa perjanjian antarabangsa dan sejumlah senarai pentadbiran. Cebisan beberapa karya puisi telah dikenalpastikan: "Legenda Keret", "Legenda Danel", hikayat Baal yang menceritakan sengketa Baal-Hadad dengan Yam dan Mot, dan sebagainya.[12]
Penemuan arkib Ugarit pada tahun 1929 agak penting dalam kesarjanaan Alkitab, kerana arkib-arkib ini telah memberi penerangan jelas tentang kepercayaan agama Kanaan, pada zaman sebelum penempatan Bani Israel. Teks-teks tersebut mencerminkan sastera Bible Ibrani, terutama sekali dalam hal gambaran Tuhan dan bentuk puisi. Puisi Ugarit mempunyai pelbagai unsur yang kemudiannya ada dalam puisi Ibrani: kesejajaran, matra, dan rentak.
Penemuan teks dari tapak Ugarit memberi banyak gambaran mengenai kehidupan budaya di kota ini.[13]
Dasar kota Ugarit di Zaman Gangsa terbahagi kepada empat quadran. Di kawasan barat laut petak berkubu ialah peninggalan tiga bangunan keagamaan utama, termasuk dua kuil (bagi dewa Baal, Hadad, dan Dagon) dan sebuah bangunan yang dianggap sebagai perpustakaan atau rumah pendeta besar. Di dalam struktur ini, di atas akropolis, terdapat banyak teks mitologi yang bernilai. Teks-teks ini telah memberikan bahan untuk memahami dunia mitologi dan agama Kanaan. Kitaran Baal mewakili pembinasaan Baal Hadad terhadap Yam (dewa kekacauan dan laut) dan menunjukkan hubungan perjuangan huru-hara Kanaan dengan Mesopotamia dan Aegea: dewa pejuang bangkit sebagai pahlawan dewata baru untuk mengalahkan kehuru-haraan dan menegakkan ketenteraman.
Setelah kemusnahan Ugarit pada awal abad ke-12 SM, lokasi Ugarit dilupakan sehinggalah pada tahun 1928 ketika seorang petani secara tidak sengaja membuka makam lama ketika sedang membajak. Kawasan yang ditemui ialah nekropolis Ugarit yang terletak di sebuah pelabuhan berdekatan Mina Al-Baida, barat Syria. Penggalian yang diadakan sejak itu mendedahkan sebuah kota dengan sejarah yang menjangkau sebelum 6000 SM. [14]
Tapak ini merupakan sebuah gunduk setinggi 19.8 m. Ditinjau dari sudut arkeologi, Ugarit mungkin berasal daripada orang Kanaan.[15] Siasatan makam yang dijarah di Minet el-Beida dilaksanakan oleh Léon Albanèse pada tahun 1928, yang kemudiannya menyelidik gunduk utama Ras Syamrah.[16] Tetapi pada tahun berikutnya, penggalian Tel Ras Syamrah dimulakan oleh ahli arkeologi Claude Schaeffer dari muzium arkeologi Strasbourg.[17] Usaha penggalian diteruskan di bawah penyeliaan Schaeffer hingga tahun 1970, namun tergendala dari tahun 1940 hingga 1947 kerana Perang Dunia II.[18][19]
Kerja penggalian menemukan sebuah istana diraja dengan sembilan puluh bilik di sekeliling lapan halaman serta banyak balai peribadi yang besar. Di puncak bukit kota ialah dua kuil utama yang dikhaskan kepada raja dewa Baal, anak El dan satu kepada Dagon, dewa kesuburan dan gandum. 23 stele diperoleh dari dalam tanah: sembilan stele, salah satunya stele Baal dengan Halilintar, berhampiran Kuil Baal; empat di Kuil Dagon; dan sepuluh lagi terselerak di seluruh kota.[20]
Di tapak galian, beberapa korpus batu bersurat dengan tulisan pepaku. Semua ini amat bernilai dalam kajian sejarah.