Akhbar, surat khabar atau koran (pinjaman Belanda: courant[1] atau krant) merupakan penerbitan berkala sama ada harian, mingguan, atau bulanan; yang memuatkan berita semasa.
Akhbar biasanya dicetak pada kertas kos rendah yang disebut kertas akhbar, dan berisi berita-berita terkini dalam pelbagai topik. Topiknya boleh terbentuk dari acara-acara politik, jenayah, sukan, rencana atau cuaca. Akhbar juga turut mengandungi kartun, teka-teki silang-kata dan hiburan lain.
Secara umumnya, akhbar mendapat pendapatan baik dari pengiklanan, langganan pembaca atau kedua-duanya; adakala ada juga akhbar yang diedarkan secara percuma kepada pembaca dengan mampunya pendapatan diperolehi dari pengiklanan semata-mata. Media ini masih bertahan hingga kini walaupun mendapat saingan dari teknologi seperti radio, televisyen dan internet.
Terbitan bercetak pertama yang boleh dianggap mengikut tatacara akhbar iaitu Relation aller Fürnemmen und gedenckwürdigen Historien yang diterbitkan di Strasbourg, Empayar Rom Suci secara mingguan pada 1605.[2]:396f.
Alamat Langkapuri dicanangkan sebagai surat khabar berbahasa Melayu pertama diedarkan dan diterbitkan di dunia;[3][4][5][6][7] ia dicetak di Colombo, Sailan British (kini Sri Lanka)[3][8][9] dan diedarkan dari Jun 1869[10] hingga 1870 disebabkan bilangan pelanggan tidak mencukupi,[9][11] ia ada dilancarkan semula pada tahun 1877 tapi ditutup kekal pada tahun berikutnya.[8] Walau bagaimanapun, Soerat Kabar Bahasa Melaijoe didapati lebih awal terbit pada 5 Januari 1856 di Batavia oleh E. Fuhri untuk masyarakat Tionghua setempat di sana.[12][13]
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Akhbar. |