Coast Guard Malaysia: Ops Helang | |
---|---|
Pengarah | Pitt Hanif |
Lakon layar |
|
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | |
Sinematografi | Sham Mokhtar |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan |
|
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 83 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM13 juta |
Pecah panggung | RM5 juta |
Coast Guard Malaysia: Ops Helang ialah sebuah filem aksi Malaysia 2023 arahan sulung Pitt Hanif. Dibintangi oleh Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana Marin, Hazama Azmi dan ramai lagi, ia mengisahkan tentang kisah Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan. Filem ini ditayangkan pada 2 Februari 2023 dan merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt sebelum kematiannya pada Oktober 2019.[1][2][3]
Kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi.
Hafiz juga membawa tunangnya Nurul (Jaja Iliyes) untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika Majlis Sambutan Pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu-bapanya serta beberapa lagi tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan.
Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), seorang Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu berjaya menemui dan menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya.
Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah itu berterusan mencabar komitmen Hafiz dan APMM lalu menyebabkan satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas.
Idea untuk menerbitkan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang bermula pada 2017.[4] Ia diarahkan oleh Pitt Hanif yang sebelum ini pernah menjadi pembantu pengarah untuk beberapa filem tempatan dan mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Maritim Malaysia.[1] Ia juga merupakan filem pertama dan terakhir arahan Pitt sebelum kematiannya pada Oktober 2019 akibat kemalangan bot.[4]
Penerbit filem ini, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, beliau bersama penerbit eksekutif Flying Deals, Rozita Mat Isa dan penulis skripnya, Jason Chong mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem ini. Skrip filem ini kemudian dihasilkan dengan bantuan dan nashat daripada Maritim Malaysia menerusi beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan. Menurutnya, selepas mendapat kelulusan dan dana untuk projek filem kenegaraan daripada FINAS, pihaknya bekerjasama dengan Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk menerbitkan filem ini, yang pada awalnya diarahkan bersama oleh Hashim Rejab sebelum menarik diri.[4]
Menurut Arie Zaharie selaku penerbit, ia merupakan filem pertama di Malaysia yang mengetengahkan sebuah agensi penguatkuasaan laut khususnya Maritim Malaysia sebagai penegak kepada undang-undang negara dan memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki oleh Maritim Malaysia. Beliau juga menjelaskan pemilihan Pitt sebagai pengarah untuk filem ini kerana "kredibiliti dalam pengarahan termasuk lakonan dan lakon layar menjadi antara keistimewaan" yang dimilikinya. Katanya: "Kreativiti beliau dalam merealisasikan kehendak skrip selain memenuhi kemahuan para penerbit juga menjadi antara faktor pemilihan beliau sebagai pengarah filem kali ini".[1]
Penggambaran dijalankan selama 55 hari di Langkawi, Kedah, Kuantan dan Jerantut di Pahang, Perlis dan Melaka dari 3 Ogos sehingga 24 Oktober 2019 dengan kos pembikinan berjumlah sekitar RM13 juta.[5][6] Kosnya dikawal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan masalah jerebu yang melanda sepanjang penggambaran di Langkawi.[1] Selepas Pitt meninggal dunia, Arie dan penerbit eksekutif, Rozita Mat Isa meneruskan sesi penggambaran di lokasi darat sebanyak 2 peratus.[4]
Coast Guard Malaysia: Ops Helang dikeluarkan pada 2 Februari 2023 di 132 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.[7][8]
Dalam tempoh 4 hari tayangannya, Coast Guard Malaysia: Ops Helang berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM2.5 juta.[9][10] Kutipan terus meningkat sebanyak RM5 juta dalam tempoh 10 hari selepas tayangan perdana rasminya.[11] Penerbitnya, Arie Zaharie mensasarkan kutipan RM7 juta dalam tempoh tayangan berbaki dua minggu, terutamanya semasa musim cuti sekolah.[12]
Filem ini menerima pelbagai ulasan daripada pengkritik filem. Hans Hanis dari portal Rollo de Pelicula mengulas bahawa filem ini "berjaya membawakan satu definisi yang memberi gambaran terbaru terhadap kekuatan pertahanan negara dengan cukup baik".[13] Menulis untuk The Malay Mail, Aidil Rusli memuji keseluruhan jalan cerita filem ini.[14]
Filem ini dicalonkan dalam Festival Film Asian Rome di Itali untuk tiga kategori iaitu pelakon terbaik, sinematografi dan filem terbaik. Tayangan perdana diadakan pada 21 April 2023 ketika negara menyambut hari raya.[15]