Hari ini, jenis enjin pembakaran dalaman yang paling lazim digunakan pada kenderaan seperti kereta, bas, lori dan motosikal adalah enjin empat lejang, sama ada enjin petrol ataupun enjin Diesel. Satu lejang merujuk kepada gerakan omboh dari titik tetap atas ke titik tetap bawah atau sebaliknya; maka enjin empat lejang mendapat namanya daripada empat lejang yang masing-masing menjalankan satu fungsi khas iaitu masukan, mampatan, perolehan kuasa dan penyingkiran gas ekzos.
Enjin empat lejang yang juga dikenali sebagai enjin kitar Otto mula dipatenkan oleh Eric B. Davidson dan Felice Matteucci pada 1854 diikuti dengan prototaip pertama pada tahun 1860. Ia juga dikonsepkan oleh jurutera Perancis, Alphonse Beau de Rochas pada tahun 1862 dan secara bebas, oleh jurutera Jerman Nicolaus Otto pada 1876.
Kitaran kuasa terdiri daripada mampatan adiabatik, penambahan haba seisipadu, pengembangan adiabatik serta penyingkiran haba seisipadu, diwakili dengan perwatakan empat lejang, atau gerakan naik-turun omboh di dalam silinder:
Kedudukan asal, lejang masukan, dan lejang mampatan.
Pembakaran bahan api, lejang kuasa, dan lejang ekzos.