Exists
Berasal dariJohor Bahru, Johor Johor, Malaysia
GenrePop Rock
Tahun aktif1991—kini
Syarikat rakaman
Laman sesawang
AhliMamat - vokal
Ezad - vokal
Along - gitar utama
Ajai - keyboard
Musrad - bass
Ujang - dram

Exists merupakan sebuah kugiran pop rock terkenal Malaysia yang juga popular di Singapura dan Indonesia. Kumpulan muzik remaja yang berasal dari Johor Bahru ini mula mencipta nama pada akhir tahum 1991[1] menerusi album debut mereka, EXIST. Dengan jualan album pertama mereka yang mencecah 250,000 unit, dengan sekelip mata mereka telah mencapai puncak populariti dalam industri muzik tempatan, malah lagu Untukmu Ibu juga membawa tuah kepada mereka kerana berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-7. Kumpulan ini juga telah memasuki peringkat akhir Anugerah Juara Lagu sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1992, 1994, 2002 & 2003 dengan dua vokalis yang berbeza. Mereka mempunyai lapan album studio serta lima album kompilasi sejak dari tahun 1991.

Sejarah & Perjalanan Karier

1991-1992 : Kemunculan Awal

Kumpulan Exist telah ditubuhkan pada tahun 1991 di Johor Bahru, Johor oleh seorang pengurus artis di syarikat rakaman Jojo's Production pada ketika itu iaitu Mohd Johan bin Abd Aziz. Jojo's Production yang berpusat di Bangunan Abu Kassim, Bandar Baru Uda ketika itu merupakan satu nama besar yang telahpun melahirkan salah satu gergasi rock dari selatan tanah air iaitu Mega sejak tahun 1989 selain pernah menganjurkan konsert tour yang melibatkan Search & Mega.

Segalanya bermula apabila Johan Aziz telah menziarahi rumah kakak iparnya di Mersing pada Hari Raya Aidilfitri. Di rumah itulah beliau terdengar seseorang sedang bermain solo lagu Isabella dengan gitar elektrik memandangkan ketika itu lagu tersebut mencetuskan fenomena di Malaysia dan negara-negara jiran. Dari situlah Johan mendapat tahu bahawa orang yang bermain gitar itu ialah anak saudaranya, Azhrul Nasir (Along) yang ketika itu berusia 12 tahun dan Johan telah meminta kebenaran daripada bapa Along untuk membawa Along tinggal bersamanya di Johor Bahru untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik. Setahun kemudian, barulah Along berpindah ke Johor Bahru untuk meneruskan persekolahannya di sana di bawah jagaan Johan.

Kemudian, Along dan Johan telah memulakan usaha untuk mencari anggota-anggota lain bagi melengkapkan penubuhan kumpulan muzik yang terdiri daripada kalangan remaja. Hasilnya, mereka mendapat lima anggota berusia belasan tahun iaitu Musa Radhi@Musa (Bass, 19 tahun), Mohd Ali Kamarudin@Mamat (Vokal, 12 tahun), Mohd Faizal Maas@Ajai (Keyboard, 16 tahun), Shah Nizam Abdul Halim@Shah (Gitar - 2nd lead, 17 tahun) dan Saharudin Saniman@Ujang (Dram, 18 tahun). Pada asalnya, mereka menamakan kumpulan ini sebagai Axis yang membawa maksud paksi, namun disebabkan wartawan sebuah syarikat penerbitan akhbar tersilap menulis nama kumpulan mereka sebagai Exist, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk terus mengekalkan nama Exist yang bermaksud ada/wujud di mana mereka mahukan kumpulan ini popular dan terus wujud sampai bila-bila.

Kumpulan ini kemudiannya telah beberapa kali memulakan sesi rakaman album pertama di Lion's Studio, Singapura pada bulan Mei 1991. Menariknya dalam album ini, Along dan Shah telah bersepakat untuk membahagikan permainan gitar solo lagu-lagu Exist dengan Along bermain solo untuk 6 daripada 10 lagu iaitu Rahsia Pohon Cemara, Janji Bidadari, Sebelum Terlewat, Kerana Cinta, Kuman H.I.V dan Gema Muzik manakala Shah pula mengambil 3 lagu untuk beliau bermain solo iaitu Untukmu Ibu, Hidupan Fantasi dan Meniti Cita-Cita. Satu lagi lagu mereka, Langkah Seiringan merupakan satu-satunya lagu Exist yang telah menggabungkan idea dan sentuhan dua gitar solo daripada Along dan juga Shah.

Setelah sesi rakaman album pertama memakan masa selama hampir 7 bulan, maka siaplah album pertama mereka yang diberi judul Exist, edaran BMG Pacific dan mula dipasarkan pada Disember 1991. Album ini telah memperkenalkan nama Exist apabila album yang hit dengan lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara dan Langkah Seiringan berjaya mencuri hati peminat dengan mencatatkan jualan yang membanggakan dengan melebihi 250,000 unit di Malaysia. Kejayaan album pertama ini telah melayakkan mereka untuk menerima anugerah platinum berkembar pada tahun 1992. Di samping itu, lagu Untukmu Ibu berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu '92.

1993-1994 : Pengunduran Shah, Album Anugerah, Kontroversi & Pengunduran Mamat

Pada hujung tahun 1992, Exist dikejutkan dengan pengunduran gitarisnya, Shah disebabkan konflik antara beliau dengan pihak pengurusan. Kehilangan Shah menyebabkan kumpulan ini tinggal 5 orang anggota sewaktu mereka membuat persembahan di peringkat akhir Juara Lagu 1992. Pada masa yang sama, mereka juga turut memulakan rakaman untuk album studio kedua yang berjudul Anugerah yang kemudiannya dipasarkan pada tahun 1993. Biarpun terpalit dengan beberapa isu lain yang melibatkan pengurusan syarikat rakaman, album yang diterbitkan oleh Mohamad Ali atau Mat Penang telah mengangkat nama Exist di persada muzik tempatan dengan jualan melebihi 100,000 unit di Malaysia. Lagu hit dalam album ini adalah Janji Padamu, Anugerah dan Nota Di Lautan Sepi. Sebuah lagu yang berjudul Terpaksa, ciptaan sepenuhnya oleh Saari Amri turut dimuatkan dalam album ini. Selain itu, lagu Anugerah ciptaan Along dan lirik ditulis oleh Baiduri juga berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1994 untuk kategori Pop Rock.

Namun, sikap tamak pihak pengurusan yang mahu mengaut keuntungan tanpa mempedulikan kemahuan artis rakaman telah menyemarakkan lagi rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota Exist. Keadaan bertambah buruk apabila pihak pengurusan mula mereka-reka cerita dengan mengatakan bahawa mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi ke atas Exist dan pada masa yang sama telah membuat permohonan saman ke atas Exist di mahkamah. Namun begitu, Exist yang menjadi anak guam Mr. Vallen (yang kemudiannya menjadi peguam untuk BMG) akhirnya berjaya untuk memenangi kes tersebut sekaligus menamatkan kontrak mereka lebih awal tanpa perlu membayar pampasan kepada Jojo's Production.

Tindakan berani Exist untuk keluar daripada Jojo's Production dan seterusnya berhijrah ke BMG Music ternyata menimbulkan masalah baharu apabila lagu-lagu yang telah mereka rakamkan sebelum ini tidak dapat dikeluarkan sebagai album ketiga Exist. Keadaan menjadi lebih genting apabila vokalisnya, Mamat berundur dari kumpulan itu untuk bergerak solo setelah dipujuk oleh Jojo's Production untuk kembali menjadi artis mereka. Atas cadangan M. Nasir, mereka cuba menggantikan Mamat dengan Joey sebagai vokalis baharu namun tidak berjaya kerana Joey sudahpun mengikat kontrak sebagai artis rakaman Luncai Emas iaitu syarikat milik M. Nasir. Ini menyebabkan Exist terpaksa mengadakan sesi uji bakat dalam usaha mereka untuk mencari vokalis baharu di Kuala Lumpur.

1995-2000 : Kehadiran Ezad & Kemuncak Karier

Pada masa yang sama, vokalis kumpulan Mega iaitu Rahmad telah menjadi salah seorang juri untuk pertandingan Bintang RTM peringkat negeri Kedah pada tahun 1994. Semasa pertandingan tersebut berlangsung, beliau telah bertemu dengan seorang remaja yang bernama Mohd Rohaizad bin Mohd Lazim atau lebih dikenali sebagai Ezad. Bakat luar biasa yang dimiliki remaja berusia 15 tahun itu ternyata menarik minat Rahmad yang kemudiannya membawa kepada perkenalan Ezad dengan anggota Exist yang masih lagi menguji bakat anak-anak muda untuk dijadikan vokalis baharu. Setelah hampir setahun sesi uji bakat diadakan, akhirnya mereka sebulat suara memilih Ezad sebagai vokalis Exist yang baharu dan memanggilnya untuk menandatangani kontrak bersama kumpulan tersebut di Kuala Lumpur. Mereka kemudiannya memasuki studio untuk memulakan proses rakaman album studio ketiga Exist yang diberi judul Diammu Gunung Berapi pada tahun 1995.

Pemilihan Ezad sebagai vokalis baharu Exist ternyata tidak sia-sia apabila album tersebut meletup sebagaimana letupnya gunung berapi dengan mencatatkan jualan yang membanggakan biarpun Exist masih lagi terpalit dengan beberapa isu terutamanya melibatkan hakcipta beberapa buah lagu dalam album tersebut dengan syarikat rakaman terdahulu selain kadar jualannya yang agak perlahan ketika album ini dipasarkan. Lebih manis lagi, album ketiga Exist yang dibungkus semula dengan judul Mencari Alasan untuk pasaran Indonesia pada tahun 1996 turut meletup di sana dengan rekod sebanyak 600,000 unit. Ternyata kehadiran Ezad telah memberi sinar baharu buat Exist untuk terus menempa nama dalam industri muzik tanah air dan menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa populariti Exist akan terkubur setelah mengalami pertukaran vokalis.

Bermula dari album keempat berjudul Jangan Gentar pada tahun 1997, Exist telah menukar nama kepada EXISTS di mana mereka menambahkan huruf “S” dalam ejaan nama kumpulan seolah-olah sebagai satu tanda bahawa mereka mahu peminat peka tentang kewujudan Exists di dalam industri muzik tanah air dengan kekuatan, keazaman dan penghasilan album yang disenangi oleh peminat. Tetapi semasa album tersebut dilancarkan pada tahun 1998, Ajai telahpun meninggalkan Exists untuk memulakan kerjaya solonya sebagai penyanyi, komposer dan jurutera muzik di salah sebuah syarikat rakaman tanah air. Pengunduran Ajai tidak melemahkan semangat Exists biarpun mereka terpaksa bergerak dengan hanya 4 orang di dalam kumpulan. Setahun selepas itu, Exists muncul dengan album kelima mereka yang berjudul Mutan tahun 1998 di mana lagu hitnya ialah Dirantai Digelangi Rindu ciptaan Eddie Hamid. Lagu itu berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 14.

Setelah Exists menyepi seketika dari sebarang penghasilan album, pada tahun 2000, mereka telah mengeluarkan album kompilasi Best of Exists yang memuatkan lagu-lagu hit dari album Exist sehingga album Mutan. Album ini turut memuatkan dua lagu baharu yang berjudul Bunga dan Tak Ku Biar. Lagu Bunga yang dicipta oleh Allahyarham J.S. Kevin dan lirik oleh Musrad (Musa Exists) mendapat sambutan yang memberangsangkan dan mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 15. Album kompilasi ini merupakan album terakhir Exists di bawah label BMG Music sebelum keluar daripada syarikat tersebut pada tahun yang sama.

2001-2007 : Album Ada & Era Baharu Exists

Selepas menyepi selama dua tahun tanpa album studio baharu, Exists akhirnya kembali dengan album terbaru yang berjudul Ada pada tahun 2001. Pada kali ini, mereka telah menandatangani kontrak baharu di bawah NAR Records dan album ini boleh dikatakan sebagai album studio terbaik untuk kumpulan Exists dan menarik pengaruh dari The Beatles. Album yang terjual melebihi 80,000 unit ini popular dengan dua buah lagu mereka iaitu Jesnita ciptaan Harun Ahmad dan Julia ciptaan Along atau nama penanya, G-nola. Kedua-dua lagu tersebut berjaya memasuki Separuh Akhir Muzik Muzik 17. Sayangnya hanya lagu Julia sahaja yang berjaya mara ke pentas akhir.

Album studio ketujuh mereka, Seperti Dulu diterbitkan sendiri oleh semua anggota Exists. Album ini telah memenangi album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-11. Lagu Percayakan Siti dan Seperti Dulu mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik 18, namun hanya lagu Percayakan Siti ciptaan G-nola & lirik oleh Loloq yang berjaya layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 2003.

Pada tahun 2004, mereka mengeluarkan album studio kelapan mereka berjudul Paragon dengan lagu hit Dengan Atau Tanpamu (ciptaan Munif Hijjaz), Hilang Dalam Ramai dan Kau Jadikan Tandanya. Pada tahun berikutnya kemunculan Exists semakin tenggelam kerana banyak munculnya artis-artis baharu pada ketika itu. Namun begitu, mereka tidak mudah patah semangat, malah mereka cuba untuk mengekalkan populariti mereka dengan mengeluarkan album kompilasi berjudul Exists : Special Edition pada tahun 2006. Turut dimuatkan dalam album ini, lagu ciptaan Tam Spider iaitu Buat Kita (Kasih Seharum Mawar) dan lagu ini menjadi hit serta kerap diputarkan di radio pada ketika itu.

Pada tahun 2007, mereka mengeluarkan album kompilasi yang berjudul Hits Rakaman Semula di mana album ini memuatkan lagu-lagu hit Exists yang dirakamkan semula dengan nafas baharu. Album ini juga merupakan album pertama Exists yang diterbitkan di bawah label mereka sendiri iaitu Ada Exists Sdn. Bhd.

2007-kini : Kontroversi, Pengunduran Vokalis & Exists Reunion

Perselisihan faham adakalanya tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila bergerak dalam satu kumpulan. Kontroversi yang melanda antara anggota Exists kian berpanjangan dan ini telah menyebabkan vokalisnya, Ezad berundur dari kumpulan tersebut. Exists kemudiannya memilih semula Joey yang ketika itu sudahpun menjadi pelakon dan pelawak untuk memenuhi projek Exists.

Exists kemudiannya mengeluarkan album kompilasi berjudul Keunggulan pada tahun 2008 yang memuatkan lagu-lagu hit kumpulan tersebut dari tahun 1991 sehingga tahun 2006. Selain itu, album ini turut memuatkan 2 buah lagu baharu nyanyian Joey iaitu Aku Denganmu dan Cinta Terindah serta sebuah lagu baharu nyanyian Ezad bersama penyanyi Mimie Haris iaitu Di Sebalik Rahsia Cinta, nyanyian asal kumpulan Metropolitan. Namun, kemasukan Joey tidak dapat mengembalikan populariti kumpulan Exists, apatah lagi mereka terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan indie yang kian menguasai pasaran muzik tempatan pada ketika itu. Namun beberapa tahun kemudian, hubungan Exists dan bekas vokalisnya, Ezad kembali terjalin dan masing-masing telah melupakan peristiwa hitam yang pernah menghantui hidup mereka sepanjang bergelar artis.

Pada tahun 2016, mereka telah mengadakan konsert Throwback Exists yang berlangsung di Far East Square, Singapura. Pada kali ini, Ezad bergabung dengan Along, Ujang dan Musrad untuk bersama-sama dalam konsert tersebut dan persembahan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat di sana.

Selepas beberapa siri perbincangan diadakan, akhirnya Exists membuat kemunculan semula buat pertama kalinya bersama Ezad, Mamat, Ajai dan Shah di Anugerah Meletop Era pada 21 April 2019. Kemunculan Exists bersama bekas-bekas anggotanya ternyata mengubat kerinduan para peminat terhadap kumpulan rock yang telah tertubuh sejak anggotanya masih berusia belasan tahun lagi.

Ahli Kumpulan

Penyanyi

Pemuzik

Garis Masa

Diskografi

Album studio

  1. Exist (1991)
  2. Anugerah (1993)
  3. Diammu Gunung Berapi (1995)
  4. Jangan Gentar (1997)
  5. Mutan (1998)
  6. Ada (2001)
  7. Seperti Dulu (2003)
  8. Paragon (2004)

Album kompilasi

  1. Dulu Dan Sekarang (1994)
  2. Best of Exists (2000)
  3. Special Edition (2006)
  4. Hits Rakaman Semula (2007)
  5. Keunggulan (2008)

Album pasaran Indonesia

  1. Mencari Alasan (1996)
  2. Buih Jadi Permaidani (1997)
  3. Dirantai Digelangi Rindu (1999)
  4. The Best of Exists (2001)

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Kategori Nota Keputusan
2002
Anugerah Era 2002 Carta Era Jesnita (13 Minggu) Menang
Lagu Rock Pilihan Jesnita Tercalon
2003 Anugerah Planet Muzik 2003 Album Terbaik Ada Tercalon
Lagu Terbaik Julia Tercalon
Kumpulan Paling Popular Tercalon
Duo/Kumpulan Terbaik Tercalon
Anugerah Era 2003 Lagu Rock Pilihan Percayakan Siti Menang
Band Pilihan Menang
Muzik Video Pilihan Seperti Dulu Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 Artis Duo/Kumpulan Popular Menang
2004 Anugerah Industri Muzik ke-11 Album Pop Rock Terbaik Seperti Dulu Menang
Album Terbaik Seperti Dulu Tercalon
Anugerah Planet Muzik 2004 Album Terbaik Seperti Dulu Tercalon
Lagu Paling Popular Seperti Dulu Tercalon
Kumpulan Paling Popular Menang
Duo/Kumpulan Terbaik Tercalon
2005 Anugerah Era 2005 Band Pilihan Tercalon

Anugerah lain

Pencapaian

Anugerah Juara Lagu (Peringkat Akhir)

Tahun Judul Lagu Kategori Komposer Penulis lirik
1992 Untukmu Ibu Rock Rahim Othman Megat Ismail
1994 Anugerah Pop Rock Along Exists Baiduri
2002 Julia Pop Rock G-Nola Loloq
2003 Percayakan Siti Pop Rock G-Nola Loloq

Muzik-Muzik (Separuh Akhir)

Muzik Muzik Judul Lagu Kategori Komposer Penulis lirik
Separuh Akhir Muzik Muzik 7 Rahsia Pohon Cemara Rock LY LY
Separuh Akhir Muzik Muzik 14 Dirantai Digelangi Rindu Balada Eddie Hamid Man Toba
Separuh Akhir Muzik Muzik 15 Bunga Balada J.S. Kevin Musrad
Separuh Akhir Muzik Muzik 17 Jesnita Pop Rock Harun Ahmad Fauziah Hashim
Separuh Akhir Muzik Muzik 18 Seperti Dulu Pop Rock G-Nola Musrad

Konsert

Trivia

Rujukan

  1. ^ Konsert Exists di S'pura pada 2 Dis selepas 10 tahun menyepi.

Pautan luar