"Jelaskan" | |
---|---|
Lagu oleh Sandra Dianne | |
Dilancarkan pada | 2 Oktober 2020 |
Dirakamkan pada | Mei 2020 |
Genre | Balada |
Panjang | 3:55 minit |
Syarikat | Sony Music Malaysia |
Penulis |
|
sunting · sunting di Wikidata![]() |
"Jelaskan" ialah lagu yang dirakamkan dan dipersembahkan oleh penyanyi wanita Malaysia, Sandra Dianne.[1] Ia menjadi rakaman terakhir beliau dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan dikeluarkan secara anumerta oleh Sony Music Malaysia pada 2 Oktober 2020, iaitu empat minggu selepas kematiannya akibat nahas jalan raya.[2][3]
"Jelaskan" ialah sebuah lagu bergenre balada hasil karya Sandra Dianne sendiri bersama Apex CZ.[4] Ia menjadi rakaman terakhir Sandra dalam kerjaya muziknya dan dikeluarkan secara anumerta pada 2 Oktober 2020.[2] Sony Music Malaysia dalam kenyataanya berkata, pihaknya telah mengeluarkan lagu itu tiga minggu selepas Sandra meninggal dunia pada 11 September 2020.[2]
Menurut wakil Sony Music, Vea Norman, "Jelaskan" berkisarkan tentang cinta yang berakhir di pertengahan jalan iaitu pasangan memutuskan untuk berlalu pergi tanpa sebarang penjelasan.[2] Lagu ini ditulis oleh Sandra pada 2019 dan mula dirakamkan pada Mei 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 di Malaysia. Susunan muzik lagu itu dijalankan di Kuala Lumpur dan proses merakamkan vokal dilakukan di Sabah.[2]
Sandra dipetik sebagai berkata: "Berikutan kualiti rakaman tidak memuaskan, produksi terpaksa tunggu saya untuk balik ke Kuala Lumpur bagi merakamkan trek vokal semula. Bahagian itulah paling mencabar kerana dilakukan berulang kali untuk mendapatkan yang paling sempurna".[5]
Penggambaran muzik video "Jelaskan" terpaksa dibatalkan susulan kematian Sandra pada 11 September 2020. Bagaimanapun pada 2 Oktober, Sony Music memuat naik video lirik lagu itu di saluran YouTube rasmi mereka.[6]
Nor Syakinah Abdullah, ibu kepada Sandra dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan telah memberi keizinan kepada pengurusan Sandra untuk melancarkan lagu tersebut, dan akhirnya dikeluarkan secara rasmi pada Jumaat, 2 Oktober 2020 jam 12 tengah malam.[7]
Untuk "Jelaskan", Sandra mengambil insiprasi daripada penyanyi Amerika Syarikat, Billie Eilish bagi mendapatkan emosi berbaur depresi sebagaimana lagu-lagu nyanyian Eilish.[5][8][9]
Negara | Tarikh | Format | Syarikat rakaman |
---|---|---|---|
Malaysia | 2 Oktober 2020 | Muat turun digital[10] Penstriman digital[11] |
Sony Music Malaysia |
Dalam kerancakan berentap di Big Stage 2020, seluruh industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi Sandra Dianne. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 11 September 2020 di Hospital Putrajaya selepas 6 hari koma disebabkan nahas jalan raya.