Onn Jaafar | |
---|---|
عون جعفر | |
Menteri Besar Johor ke-7 | |
Dalam jawatan 1 Jun 1947 – 18 Mei 1950 | |
Didahului oleh | Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Majid |
Digantikan oleh | Dato' Syed Abdul Kadir Mohamed |
Presiden UMNO pertama | |
Dalam jawatan 11 Mei 1946 – 26 Ogos 1951 | |
Didahului oleh | Jawatan diwujudkan |
Digantikan oleh | Tunku Abdul Rahman |
Anggota Parlimen Persekutuan Tanah Melayu untuk Kuala Terengganu Selatan | |
Dalam jawatan 11 September 1959 – 19 Januari 1962 | |
Didahului oleh | Konstituensi ditubuhkan |
Digantikan oleh | Ismail Kassim |
Butiran peribadi | |
Lahir | Jalan Gertak Merah, Bukit Gambir, Johor Bahru, Johor | 12 Februari 1895
Meninggal dunia | 19 Januari 1962 Johor Bahru, Johor, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) | (umur 66)
Tempat persemadian | Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor |
Parti politik | UMNO (1946–1951) IMP (1951–1953) Parti Negara (1954–1962) |
Pasangan | Rafeah Abdullah (cerai) Jamilah Osman (cerai) Che Kah (cerai) Datin Halimah Hussein (k. 1921) |
Ibu | Datin Roquaiya Hanim |
Bapa | Dato' Jaafar Haji Muhammad |
Hubungan | Hishammuddin Hussein (cucu) Mohamed Noah Omar (besan) Mohd Seth Mohamed Said (besan dan menantu) Abdul Rahman Mohamed Yassin (abang ipar) Mohd Ghazali Mohd Seth (menantu) Ungku Abdul Aziz, Syed Hussein Alatas, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Azah Aziz (anak saudara) |
Dato' Sir Onn bin Dato' Jaafar (Jawi: عون بن جعفر ; 12 Februari 1895 – 19 Januari 1962) merupakan pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.
Beliau dilahirkan di Bukit Gambir, Jalan Gertak Merah, Johor Bahru serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.
Beliau pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, beliau menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.
Beliau bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Rencana tulisan beliau sering mengkritik masyarakat Melayu dan mendesak agar perubahan dilakukan. Onn Jaafar mendapati orang-orang Cina tidak segan berkebun sayur , membuka kedai jahit dan lain-lain pekerjaan yang dianggap rendah oleh orang Melayu.[2] Beliau dilantik menjadi pengarang Warta Malaya mulai 1 Januari 1930 hingga penghujung 1933.[3]
Beliau bertugas sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat era pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan. Onn Jaafar menggantikan tempat Encik Ismail bin Datul Abdullah bin Abdul Rahman , pegawai daerah yang telah dibunuh dengan secara kejam oleh gerila-gerila 'Bintang Tiga' di Benut pada 10 Jun 1945.[4] Selepas Jepun menyerah kalah, ramai orang Melayu yang bekerja sebagai polis dan ketua kampung telah ditangkap, hilang dan dibunuh oleh MPAJA antara Mac-April 1945. [5]
Pada tahun 1917, Sultan Johor mengarahkan Onn Jaafar menyertai Pasukan Tentera Johor (JMF) dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura, markas JMF. Jawatan tertinggi beliau ialah Leftenan.
Pasukan tentera Johor Malay Force ini ditubuhkan oleh Sultan Abu Bakar.[6]
Pada 1920 beliau bekerja semula di Pejabat Penasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.
Dari tahun 1927-1936 Onn Jaafar dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror. Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.[7] Sultan Ibrahim telah memerintahkan supaya mendakwa Sunday Mirror, tetapi perkara itu lenyap begitu sahaja. [8]
Pada awal bulan Oktober 1930, Onn Jaafar mengkritik perkahwinan Sultan Ibrahim dengan Helen Wilson (1889-1978) seorang wanita England. Pada 12 Mac 1934, baginda mengelilingi dunia diiringi Sultanah Helen Wilson dan Setiausaha Sulitnya, Kapten Sheikh Abdullah Yahya.
Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan beliau amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik beliau sebagai presiden pertama.
Pada 1 Jun 1947, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.
Beliau kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau anggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO serta mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentang, beliau meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 hingga 26 Ogos 1951.
Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.
Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat, 19 Januari 1962 akibat serangan jantung dan jenazahnya telah disemadikan bersebelahan makam bapanya, Allahyarham Dato' Jaafar bin Haji Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.
Senarai ini tidak lengkap; bantulah Wikipedia untuk memperkembangnya. |
Penyandang Terdahulu | Menteri Besar Johor 1 Jun 1947 – 18 Mei 1950 |
Penyandang Kemudian |
Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Majid | Syed Abdul Kadir Mohamed |
Penyandang Terdahulu | Presiden UMNO 11 Mei 1946 – Jun 1951 |
Penyandang Kemudian |
Yang Pertama | Tunku Abdul Rahman Al-Haj |