Pagari Bulan | |
---|---|
Pengarah | Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin |
Penulis |
|
Dihasilkan oleh | Sharifah Shahora |
Dibintangi |
|
Sinematografi | Nazir Ahmad |
Disunting oleh | Nik Johan |
Muzik oleh | Kautsar Matsin |
Syarikat penerbitan | Eleven Field Creative |
Diedarkan oleh | |
Tarikh tayangan | 5 Oktober 2023 (Malaysia) |
Masa tayangan | 90 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 2.5 juta |
Pecah panggung | RM 92 ribu |
Pagari Bulan ialah sebuah filem drama sejarah Malaysia 2023 arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dengan idea asal oleh Ellyna Ahmad dan skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim. Dibintangi oleh Nazeera Sardi sebagai watak tajuk, filem ini ditayangkan pada 5 Oktober 2023.[1][2][3]
Pada tahun 1941 sehingga 1945, sekumpulan wanita yang dirampas dari keluarga untuk dijadikan sebagai wanita penghibur atau pemuas nafsu tentera di zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Bulan, adiknya Kasih dan Sui Li telah diculik oleh tentera Jepun untuk dijadikan sebagai mangsa kerakusan tentera di Kem mereka.[4]
Selepas mengarahkan filem pendek 2016 yang juga bertajuk Pagari Bulan, pengarahnya Raja Mukhriz Raja Kamaruddin dan isterinya juga pelakon, Sharifah Shahora mengambil keputusan untuk mengembangkan naskhah asal filem ini kepada kisah yang mengangkat isu pemerkasaan wanita pada era penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu. Menurut Shahora, beliau dan suaminya mengambil masa setahun untuk mengubah plot cerita Pagari Bulan bersama pemilik idea asal, Ellyna Ahmad dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim.[6]
Eleven Field Creative, syarikat yang diasaskan oleh Raja Mukhriz dan Shahora, menerbitkan filem ini dengan Primeworks Studios dan Metrowealth Pictures mengendalikan urusan pengedaran. Filem ini diterbitkan dengan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bernilai RM2.5 juta yang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Raja Mukhriz dan Sharifah Shahora mendedahkan bahawa mereka telah memohon untuk mendapatkan dana DEKAN sebanyak 2 kali, namun ditolak sebelum permohonan mereka diterima oleh FINAS selepas dirombak dengan membawa tema pemerkasaan wanita.[6][7]
Nazeera Sardi memegang watak sebagai Bulan dan ini merupakan kali pertama beliau diberikan watak utama dalam sebuah filem. Ditanya mengenai pemilihan Nazeera sebagai Bulan, Shahora berkata, suaminya mahu mencari pelakon yang memiliki wajah wanita Melayu asli. Menurutnya, proses itu agak rumit kerana kebanyakan pelakon wanita berdarah campuran. Semua babak dalam filem ini mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF), Raja Mukhriz pula mendedahkan bahawa babak terakhir Pagari Bulan tidak melepasi tapisan daripada LPF ke kerana mempunyai risiko umpama mempromosikan komunis.[8] Penggambaran dijalankan di 25 lokasi bagi menghidupkan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.[6]
Lagu tema filem ini ialah "Bulan" dipersembahkan oleh Namira dengan Cat Farish berkhidmat sebagai penerbit.[9][10]
Pagari Bulan ditayangkan pada 5 Oktober 2023 di 60 pawagam seluruh Malaysia dan Singapura.[1][11][12] Filem ini menjadi kegagalan komersial.[13][14]
Mohammad Al-Faizal Abdul Karim dari Utusan Malaysia mengulas: "Pagari Bulan mempunyai kekuatan sendiri dan bukanlah sebuah filem ‘asal buat’. Filem ini boleh diklasifikasikan antara filem tempatan yang bagus dan perlu diraikan di pawagam".[15] Syafil Syazwan Jefri dari Harian Metro pula sifatkan filem ini sebagai sebuah "filem luar biasa!".[16]