Rumah Pusaka Di Simpang Jalan | |
---|---|
Pengarah | Mamat Khalid |
Penulis | Mamat Khalid |
Lakon layar | Mamat Khalid |
Dibintangi |
|
Syarikat penerbitan | Ariabella Enjit Semut Productions |
Tarikh tayangan | 1 Januari 2015 |
Masa tayangan | 90 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Rumah Pusaka Di Simpang Jalan ialah sebuah filem komedi seram Malaysia 2015 arahan Mamat Khalid, yang mengangkat kisah keluarga Datuk Semerah Setongkol. Filem ini ditayangkan pada 1 Januari 2015.[1]
Ahli keluarga Datuk Semerah Setongkol yang masih hidup dipanggil untuk menerima warisan nenek moyang mereka. Mereka semua dijemput ke rumah nenek moyang mereka dan disambut oleh Johar Zulkifli (Shuk Sahar), penjaga rumah tersebut.
Rashid (Pekin Ibrahim) mempunyai perasaan ganjil bahawa sesuatu yang tidak kena dengan rumah ini semasa beliau menjejakkan kaki ke rumah. Mereka semua diminta untuk tinggal di rumah pada malam itu dan peristiwa yang pelik mula berlaku kepada semua ahli keluarga termasuk Rashid, Markona (Beli Ngasri), Yeh (Rab Khalid), Susanti (Jihan Muse), Ali (Ahmad Maembong) dan Milie (Fatin Syahirah).
Rumah Pusaka Di Simpang Jalan diarahkan oleh Mamat Khalid, pengarah filem pemenang anugerah yang telah mengarahkan beberapa filem terkenal termasuk Zombie Kampung Pisang (2007) dan Apokalips X (2014). Ia merupakan filem ke-13 arahannya.[1] Untuk filem ini, beliau menggunakan khidmat beberapa ustaz untuk memagar kawasan lokasi penggambaran daripada gangguan makhluk halus.[2]
Sebelum memulakan penggambaran, beliau membuat kajian dan banyak mendengar cerita saka daripada keluarganya.[2] Penggambaran filem ini dijalankan di Batu Gajah, Perak.[2]
Filem ini ditayangkan pada 1 Januari 2015 sempena sambutan Tahun Baru.