Anjing gembala Shetland
Anjing gembala Shetland sabel
Nama lainCollie Shetland (usang)
Anjing gembala kerdil Scotland (usang)
Nama ringkasSheltie
Negara asalScotland
Trait
Berat Jantan 5.0–10.9 kg (11–24 lb)
Betina 5.0–10.9 kg (11–24 lb)
Tinggi Jantan 33–41 cm (13–16 in)
Betina 33–41 cm (13–16 in)
Bulu lapis bulu ganda panjang
Warna sabel, sabel mahogani, sabel terlorek, triwarna, dwihitam, dwibiru, merle biru, merle dwibiru, merle sabel, putih dengan kepala berwarna, merle gelap, hitam dan sawo matang
Saiz perinduk 4–6 ekor anak anjing
Jangka hayat 12–18 tahun (purata)[1]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gembala Shetland,[a] juga dikenali sebagai sheltie,[b] ialah satu baka anjing gembala yang berasal dari Kepulauan Shetland dari Scotland. Ia diiktiraf secara formal oleh The Kennel Club pada tahun 1909. Ia pada asalnya dipanggil collie Shetland,[c] tetapi ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan pembiak baka collie kasar pada masa itu, maka nama baka ini diubah secara rasmi.[2] Ia merupakan anjing kecil, pintar, vokal, berkeinginan untuk menyenangkan, dan boleh dipercayai.

Seperti kuda padi Shetland, lembu Shetland, dan biri-biri Shetland, anjing gembala Shetland ialah baka tahan lasak namun diminutif yang dikembangkan untuk bertahan dalam keadaan mencabar dan daif di kepulauan aslinya. Walaupun sheltie masih cemerlang dalam penggembalaan, kini ia kerap dibela sebagai anjing pekerja dan/atau anjing peliharaan keluarga.[3][4]

Asal usul sheltie adalah kabur, tetapi ia bukan keturunan langsung bagi collie kasar, yang dengannya ia serupa. Sebaliknya, sheltie ialah keturunan bagi spesimen-spesimen kecil bagi collie Scotland dan King Charles spaniel. Ia pada asalnya merupakan anjing baka kacuk kecil, kerap hanya setinggi sekitar 20–30 cm (8–12 in) pada paras bahu dan anjing gembala Shetland asli disangkakan merupakan anjing daripada jenis spits dan disilangkan dengan collie dari tanah besar Britain.[2] Pada awal abad ke-20, James Loggie menambahkan seekor collie kasar kecil kepada ternakan pembiakbakaan dan membantu untuk mengasaskan baka yang kemudian menjadi anjing gembala Shetland moden.

Sejarah

Fotograf seekor anjing gembala Shetland dari tahun 1915

Tidak seperti banyak baka katik yang menyerupai padanan lebih besar masing-masing, baka ini tidak dikembangkan hanya dengan membiakbakakan collie kasar secara terpilih untuk saiz semakin kecil. Anjing gembala asli Shetland ialah anjing jenis spits yang barang kali serupa dengan anjing gembala Iceland moden. Anjing ini telah disilangkan dengan collie pekerja tanah besar yang dibawa ke kepulauan dan kemudian, selepas dibawa ke England, selanjutnya disilangkan secara meluas dengan collie kasar dan baka-baka lain termasuk sesetengah atau kesemua Greenland yakki yang telah pupus, King Charles spaniel (bukan cavalier), anjing Pomerania,[2] dan mungkin collie sempadan. Anjing gembala jenis spitz asli Shetland kini pupus setelah digantikan untuk penggembala di sana oleh collie sempadan. Sheltie digunakan untuk penggembalaan sehingga pertanian ternakan komersial memerlukan baka-baka lebih besar.[5]

Apabila baka ini pada asalnya diperkenalkan, para pembiak baka memanggilnya Shetland Collie ("collie Shetland") yang menyinggung para pembiak baka collie kasar. Maka, namanya diubah kepada Shetland Sheepdog ("anjing [gembala/biri-biri] Shetland").[2][6] Pada awal abad ke-20 (sehingga tahun 1940-an), persilangan tambahan dibuat kepada collie kasar untuk membantu untuk mengekalkan jenis collie kasar yang diingini – sebenarnya, ibu kepada sheltie juara Inggeris pertama, Gesta, ialah seekor collie kasar.[7] Tahun 1909 menyaksikan pengiktirafan awal bagi sheltie oleh The Kennel Club dengan sheltie berdaftar pertama yang merupakan seekor betina bernama Badenock Rose. Sheltie pertama yang didaftarkan oleh American Kennel Club ialah "Lord Scott" pada tahun 1911.[8]

Perihal

Seekor anjing gembala Shetland sabel

Penampilan umum sheltie adalah seperti collie kasar katik. Ia merupakan anjing pekerj kecil berlapis bulu ganda yang tangkas dan tegap. Shetlie merle biru mungkin mempunyai mata biru atau atau sebiji mata perang dan sebiji biru, tetapi semua yang lain mempunyai mata berwarna gelap. Ekspresinya sepatutnya penuh dengan kewaspadaan dengan sifat lemat lembut dan kadang-kadang menyendiri. Ia kerap sangat baik dengan kanak-kanak. Ia mengangkat ekornya rendah-rendah di bawah, hanya terangkat tinggi-tinggi apabila berjaga-jaga dan tidak pernah terangkat ke atas belakang. Ia merupakan baka amat setia, kadang-kadang menjauhi orang asing tetapi tidak patut segan atau menunjukkan rasa takut menurut piawaian baka AKC.

Bulu dan warna

Seekor anjing gembala Shetland merle biru
Seekor anjing gembala Shetland dwibiru dengan mata biru yang disebabkan oleh faktor merle

Sheltie mempunyai lapis bulu ganda yang bermaksud terdapat dua lapis bulu. Rerambut pengawal panjang dan kasar terletak di atas lapis bulu bawah tebal dan lembut. Rerambut pengawalnya kalis air, manakala lapis bulu bawah memberikan kelegaan daripada kedua-dua suhu tinggi dan rendah.

The Kennel Club memerihalkan tiga warna berlainan: "triwarna, merle biru, dan sabel (daripada keemasan melalui mahogani) yang bertanda dengan jumlah berbeza-beza bagi warna putih dan/atau sawo matang".[9] Walau bagaimanapun, pada asasnya, anjing merle biru ialah anjing hitam secara genetik, sama ada hitam, putih, dan sawo matang (triwarna). Dalam gelanggang pertunjukan, anjing merle biru mungkin mempunyai mata biru; semua warna lain mesti mempunyai mata perang.

Warna bulu asas

Warna bulu ubah suaian

Mana-mana warna di atas juga mungkin mempunyai gen pengubahsuaian warna. Gen pengubahsuaian warna merupakan pemfaktoran merling dan putih. Merling mencairkan warna asas (sabel, triwarna, atau dwihitam) lalu menyebabkan lapis bulu anjing hitam menunjukkan campuran helaian bulu hitam, putih, dan kelabu, kerap dengan tompok-tompok hitam.

Merle ganda, hasil pembiakbakan dua ekor sheltie merle bersama-sama, mempunyai insiden sangat tinggi bagi kepekakan atau kebutaan.[11]

Terdapat laporan tentang seekor sheltie brindle[12] tetapi ramai penggemar sheltie bersetuju bahawa persilangan kadang-kadang dalam keleluhuran sheltie spesifik itu dapat menghasilkan anjing brindle. Warna-warna yang tidak dapat diterima dalam gelanggang pertunjukan merupakan kekaratan pada lapis bulu biru atau hitam. Warna tidak boleh pudar, tiada tompok-tompok putih ketara, dan warna berkenaan tidak boleh melebihi 50 peratus putih.

Seekor anak anjing gembala Shetland triwarna. Telinga tegak separa terlipat, trait yang diingini.

Tinggi dan berat

Sheltie biasanya berukuran seberat sekitar 5–11 kilogram (11–24 lb).[perlu rujukan] Pada umumnya, jantan adalah lebih tinggi dan lebih berat daripada betina. Julat ketinggian yang diterima mungkin berbeza-beza bergantung pada negara dan piawaian yang digunakan. Di Amerika Syarikat dan di Kanada, piawaian baka menyatakan bahawa jantan dan betina boleh berukuran 33–41 sentimeter (13–16 in), semua piawaian lain (Australia, New Zealand, dan United Kingdom) pula menentukan jantan: 37 ± 2.5 sentimeter (14 12 ± 1 in), betina: 35.5 ± 2.5 sentimeter (14 ± 1 in) kecuali FCI yang menentukan betina: 36 ± 2.5 sentimeter (14 14 ± 1 in) pada paras bahu (kelasa), namun, sesetengah sheltie didapati berada di luar julat ini tetapi tidak dianggap benar-benar sebagai wakil baka ini. Variasi dapat ditemukan dalam perinduk dan ketinggiannya (dalam julat 40–50 sentimeter atau 16–20 inci) adalah melebihi piawaian baka dalam sesetengah susur galur.

Seekor sheltie berusia 12 bulan di Mull

Telinga

Untuk mengakuri piawaian baka, telinga sheltie patut membengkok sedikit atau "menyenget". Telinga patut mempunyai sepertiga hingga seperempat bahagian atas telinganya menyenget. Jika telinga anjing berkenaan tidak membengkok (dirujuk sebagai telinga runcing), sesetengah pemilik meletakkannya pada kedudukan betul selama beberapa minggu hingga beberapa bulan. Telinga merenggang luas-luas (terlalu banyak jarak di antara kedua-duanya) juga bukan trait yang diingini, begitu juga telinga dengan hujung terlalu rendah ke bawah (dirujuk sebagai telinga "hound"). Ekspresi keseluruhan patut memamparkan pembawaan waspada dan cerdas baka ini.[13]

Penjagaan bulu

Sheltie mempunyai lapis bulu ganda dan kerap bersalin bulu pada banyak masa tanpa mengira musim. Lapis bulu atas terdiri daripada helaian bulu panjang, lurus, dan kalis air yang memberikan perlindungan daripada kesejukan dan unsur alam. Lapis bulu bawahnya pendek, lebat, dan sangat padat serta membantu untuk mengekalkan kehangatan anjing. Kusutan umumnya dapat ditemukan di belakang telinga, di bawah siku pada setiap tungkai hadapan, dan pada bulu gebu pada tungkai belakang ("skirt"), serta di sekeliling kolar (jika dipakai). Lapis bulunya biasanya gugur dua kali setahun, selalunya pada musim bunga dan musim luruh.[14] Betina juga bersalin bulu sejurus sebelum bersalin atau sejurus selepas bersalin. Sheltie jantan sebenarnya kurang bersalin bulu berbanding dengan betina tetapi bulu masih gugur-gugur sentiasa.[15] Pencukuran anjing ini sangat buruk untuk kulitnya dan sesetengah anjing tidak menumbuhkan jumlah rambut ketara semula selepas dicukur, iaitu keadaan yang dikenali sebagai alopesia.[16] Pemandulan atau peneuteran dapat mengubah tekstur lapis bulu, lalu menjadikannya lebih lembut, lebih terdedah kepada pengusutan, dan malah lebih lebat.[perlu rujukan] Sheltie bersalin bulu secara bergumpal-gumpal yang dapat ditanggalkan dengan menarik atau memberus gumpalan daripada lapis bulu utama, bukan pula helaian bulu individual. Ini menjadikannya lebih mudah untuk dirapikan dan dibersihkan berbanding dengan kebanyakan anjing berbulu licin yang meninggalkan bulu longgar di ruangnya.

Perangai

Selain perbezaan saiz, sheltie dan collie kasar kelihatan sangat serupa.

Sheltie mempunyai paras kecerdasan tinggi. Menurut Dr. Stanley Coren, pakar kecerdasan haiwan, anjing gembala Shetland ialah salah satu baka anjing paling pintar yang menduduki tempat ke-6 daripada 138 baka yang diuji. Penyelidikan beliau mendapati bahawa rata-rata sheltie dapat memahami arahan baharu dalam kurang daripada lima ulangan dan akan mematuhi arahan pada penyampaian arahan kali pertama dalam 95% daripada masa atau lebih baik.[17]

Kesihatan

Sheltie dwihitam yang melepasi lompatan ketangkasan. Anjing gembala Shetland adalah bersemangat, lincah, dan cerdas.

Untuk sebahagian besar, sheltie adalah atletik dan sihat. Seperti collie kasar, terdapat kecenderungan terhadap malformasi terwaris dan penyakit mata. Setiap anak anjing patut melalui pemeriksaan mata oleh ahli oftalmologi veterinar bertauliah. Sesetengah susur galur mungkin terdedah kepada hipotiroidisme, epilepsi, displasia pinggul, atau alahan kulit.

Anjing gembala Shetland mempunyai risiko sebanyak empat kali ganda berbanding dengan anjing lain untuk menghidap karsinoma sel peralihan, iaitu kanser pundi kencing.[18]

Dermatomiositis mungkin berlaku pada usia 4 hingga 6 bulan dan kerap salah didiagnosis oleh doktor haiwan amalan umum sebagai kurap sarkoptik atau kurap demodeks. Penyakit ini menjelmakan diri sebagai alopesia di bahagian atas kepala, di kawasan supraorbit dan kawasan suborbit, dan di lengan bawah serta di hujung ekor. Jika penyakit ini beransur kepada bentuk lebih merosakkan, ini dapat menjejaskan sistem saraf autonomi dan anjing berkenaan mungkin perlu dieutanasia. Penyakit ini disebarkan secara genetik dan adalah resesif dengan pembiak baka yang tidak mempunyai metodologi jelas untuk penyaringan kecuali catatan susur galur jelas. Biopsi tisu dalam diperlukan untuk mendiagnosis dermatomiositis secara muktamad.[19] Pentaksiran awam bagi dermatomiositis peringkat akhir meruapkan kesukaran atau ketidakupayaan cerapan untuk menelan walau air.

Penyakit von Willebrand ialah gangguan perdarahan terwaris. Pada sheltie, anjing terjejas biasanya tidak viabel dan tidak hidup lama. Sheltie membawa jenis III penyakit von Willebrand yang merupakan yang peringkat paling parah antara tiga peringkat. Terdapat ujian DNA yang dibangunkan untuk mencari penyakit von Willebrand pada sheltie. Ujian tersebut dapat dilakukan pada mana-mana umur dan memberikan tiga hasil: terjejas, pembawa, atau tidak terjejas.[20][21]

Walaupun anjing baka kecil biasanya tidak menderitai displasia pinggul secara melampau, keadaan ini telah dikenal pasti pada sheltie. Displasia pinggul berlaku apabila kepala femur dan asetabulum tidak muat bersama-sama dengan betul, lalu kerap menyebabkan nyeri atau ketempangan.[22] Displasia pinggul dianggap sebagai keadaan genetik.[23] Ramai pembiak baka mengenakan pengimbasan sinar-X bagi pinggul anjing mereka supaya diperakui oleh Orthopedic Foundation for Animals.

Mata

Dua bentuk asas bagi penyakit/kecacatan mata terwaris pada sheltie merupakan anomali mata collie (CEA) dan atrofi retina progresif (PRA).

Anomali mata collie ialah trait terwaris resesif autosom yang mengakibatkan penutupan tidak lengkap bagi fisur embrio yang terlihat hampir secara eksklusif pada collie, collie sempadan, dan anjing gembala Shetland.[24] Penyakit ini melibatkan retina. Tanda-tanda CEA pada sheltie merupakan mata kecil atau terdalam. Ini sentiasa dwisisi walaupun keparahannya mungkin berbeza-beza (tidak sama rata) antara mata. CEA dapat dikesan pada anak anjing muda oleh ahlo oftalmologi veterinar.[25] Kecacatan lain yang disertakan (anomali mata) mungkin salah menunjukkan manifestasi CEA lebih parah. CEA hadir semasa lahir dan walaupun tidak dapat disembuhkan, tidak berprogres, iaitu, keparahan penyakit ini semasa kelahiran tidak berubah sepanjang hayat anjing berkenaan.

CEA adalah genetik, iaitu pewarisannya adalah resesif autosom. Ini bermakna bahawa anjing yang tidak menunjukkan tanda-tanda fenotip bagi keadaan ini pun mungkin menjadi pembawa. Pembiak baka patut secara aktif mencuba untuk membiakbakakan penyakit ini ke luar dengan hanya membiakbakakan anjing yang mempunyai mata "jelas" atau mata dengan skor sangat rendah.[26] CEA diberi skor dengan cara serupa seperti untuk pinggul. Skor CEA yang dianggap terlalu tinggi untuk pembiakbakaan mungkin masih cukup rendah untuk tidak menjejaskan kehidupan anjing berkenaan. Anjing ini menjalani kehidupan bahagia dan sihat sebagai anjing peliharaan tetapi tidak patut digunakan untuk pembiakbakaan. Perkembangan terbaru ujian DNA untuk CEA menjadikan kawalan penyakit ini lebih berkemungkinan kerana lebih ramai pembiak baka mengambil kesempatan daripada ujian tersebut.

Atrofi retina progresif dapat dikesan pada bila-bila masa tetapi biasanya tidak muncul sehingga anjing berkenaan berusia sekitar dua tahun. Anjing pembiakbakaan patut diuji untuk genotip untuk keadaan ini sebelum pembiakbakaan dan hanya haiwan yang didapati "jelas" patut digunakan untuk pembiakbakaan. PRA dapat berlaku pada kebanyakan baka anjing termasuk baka kacuk. Pada kebanyakan baka, keadaan ini juga merupakan keadaan resesif autosom; walau bagaimanapun, keadaan ini telah didapati pada sesetengah baka sebagai dominan autosom, dan terangkai seks pada yang lain.[27] Seperti namanya, ini merupakan penyakit progresif yang akhirnya akan mengakibatkan kebutaan total.[28] Seperti CEA, anjing terjejas tidak patut dibiakbakakan, tetapi anjing ini boleh hidup dengan bahagia sebagai anjing peliharaan. Pada masa ini, belum ada rawatan untuk kedua-dua penyakit, tetapi oleh sebab kedua-dua penyakit (CEA dan PRA) merupakan penyakit keturunan, ada kemungkinan untuk menghapuskannya dengan menggunakan pembiakbakaan terpilih.

Sheltie ini yang kebanyakannya putih mempunyai beberapa kecacatan pengakuran, seperti telinga mencucuk, pewarnaan putih terlalu banyak (oleh sebab dirinya yang merupakan merle ganda), mikroftalmia, dan tompok-tompok merah jambu pada hidung. Anjing ini tidak dianggap sebagai ternakan pembiakbakaan.

Pembiakbakaan

Seperti semua anjing, sheltie patut disaring untuk penyakit genetik boleh waris sebelum pembiakbakaan. Kedua-dua jantan dan betina patut diuji untuk masalah tiroid, penyakit von Willebrand, dan bruselosis, serta melalui pengimbasan sinar-X bagi pinggul dan menjalani pengujian mata oleh pihak berkuasa kebangsaan masing-masing.

Warna-warna pembiakbakaan juga menjadi masalah untuk ramai pembi baka pemula. Gabungan warna tertentu dapat membuahkan hasil yang tidak diingini atau mungkin berbahaya, seperti pengawanan anjing merle biru dengan anjing merle biru, yang dapat menghasilkan yang dipanggil "merle ganda" yang lebih berkemungkinan untuk menjadi pekak atau buta. Pengawanan anjing sabel dan putih dengan anjing merle biru dapat menghasilkan merle sabel yang tidak diingini untuk gelanggang pertunjukan. Pengawanan triwarna dengan anjing tulen untuk sabel (anjing sabel dan putih yang dapat menghasilkan hanya anjing sabel dan putih lain) akan menghasilkan hanya anjing sabel dan putih, tetapi keturunan ini akan menjadi sabel dan putih trifaktor (yang bermaksud bahawa ia mempunyai trigen). Terdapat banyak lagi contoh pembiakbakaan untuk warna. Maka, pembiak baka baik akan menyelidik genetik warna sebelum pembiakbakaan. Terdapat banyak gen berlainan yang menyumbang kepada warna berlainan sheltie, termasuk dwigen, gen merling, gen sabel, dan gen triwarna.[29][30]

Mutasi gen MDR1

Menurut Kolej Perubatan Veterinar di Universiti Negeri Washington, anjing gembala Shetland, dan banyak baka gembala lain, mempunyai risiko untuk lahir dengan mutasi gen MDR1, dengan kira-kira 15 peratus individu yang terjejas. Baka silang juga terjejas.[31] Anjing yang membawa Mdr1-1 mengongsi leluhur bersama yang mengalami kejayaan evolusi luar biasa, setelah menyumbang secara genetik kepada sekurang-kurangnya sembilan baka anjing berlainan.[32] Oleh sebab mutasi genetik ini, anjing terjejas mungkin menunjukkan kepekaan atau tindak balas buruk terhadap banyak ubat, termasuk asepromazina, butorfanol, doksorubisin, eritromisin, ivermektin, loperamida, milbemisin, moksidektin, rifampin, selamektin, vinblastina, dan vinkristina.[33][34]

Kehidupan kerja

Seperti namanya, sheltie dapat dan telah digunakan sebagai anjing gembala dan masih menyertai ujian anjing gembala sehingga kini. Anjing gembala membawa haiwan ternakan dari tempat ke tempat dengan menyebabkan tingkah laku perkumpulan ketakutan dan pelarian.[35] Naluri untuk menggembala terutamanya merupakan hasil pembiakbakaan. Pelatihan sebanyak mana pun tidak dapat menggantikan trait ini.[36]

Sheltie juga boleh menjadi anjing terapi hebat untuk mereka yang memerlukan penawar hati semasa masa sukar seperti bencana alam atau penyakit teruk.[37] Baka ini jarang agresif dan cenderung untuk bertingkah laku baik dengan kanak-kanak dan apabila dikendalikan oleh mereka.[38]

Kegiatan

Dalam kumpulan saiznya, baka ini mendominasi ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, dan penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Sheltie yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[39]

Anjing gembala Shetland masyhur

Lihat juga

Catatan

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا شيتلند; bahasa Inggeris: Shetland sheepdog
  2. ^ Jawi: شيلتي; bahasa Inggeris: sheltie
  3. ^ Jawi: کولي شيتلند; bahasa Inggeris: Shetland collie

Rujukan

  1. ^ Cassidy, Dr. Kelly M. (1 Februari 2008). "Breed Longevity Data". Dog Longevity (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 15 Januari 2024.
  2. ^ a b c d Herbert, Beryl & Joan (1961). The Shetland Sheepdog (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Arco Publishing Company, inc. ISBN 0-668-03976-0.
  3. ^ "Shetland sheepdog" (Inggeris). The Columbia Encyclopedia. New York, Amerika Syarikat: Columbia University Press, 2008. Credo Reference. Web. 17 September 2012.
  4. ^ Doe, John (30 April 2005). "My Favorite Things, Part II". Encyclopedia of Things (dalam bahasa Inggeris). Open Publishing. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  5. ^ McKinney, Betty Jo; Riesberg, Barbara (1985). Sheltie Talk (dalam bahasa Inggeris). Loveland, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. m/s. 2. ISBN 0-931866-17-0.
  6. ^ Clem McGowan, Charlotte (1999). The Shetland Sheepdog in America (dalam bahasa Inggeris). Best Friends Ltd.
  7. ^ Bowling, Sue Ann. "Collie crosses behind shetland sheepdogs". bowlingsite.mcf.com (dalam bahasa Inggeris). Terbitan sendiri. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  8. ^ a b Bowling, Sue Ann. "Shetland Sheepdog Breed History" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  9. ^ "AKC Breed Standard for Shetland Sheepdogs" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  10. ^ Dreger, Dayna. "Shetland Sheepdog Coat Color DNA Study" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  11. ^ "Sheltie Coat Color Genes" (dalam bahasa Inggeris). Athro, Limited. 5 Februari 2000. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  12. ^ Miller, Bob. "Brindle Sheltie" (dalam bahasa Inggeris). Barlo Shelties. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  13. ^ "Shetland Sheepdog Breed Standard". americanshetlandsheepdogassociation.org (dalam bahasa Inggeris). 12 Mei 1959. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  14. ^ "Grooming the Sheltie" (dalam bahasa Inggeris).
  15. ^ Foster; Smith. "Why Nursing Dogs Lose Their Hair or Blow Their Coat" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  16. ^ McDonough, Yona Zeldis (1 September 2010). "Shaving dogs in the summer" (dalam bahasa Inggeris). webvet.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mei 2011. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  17. ^ Coren, Stanley (1995). The Intelligence of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Bantam Books. ISBN 0-553-37452-4.
  18. ^ Clinical Medicine of the Dog and Cat (Inggeris), edisi ke-2, penyunting Michael Schaer, hlm. 528.
  19. ^ Clark, L.A.; Credille KM; Murphy KE; Rees CA. (16 Disember 2005). "Linkage of dermatomyositis in the Shetland Sheepdog to chromosome 35". Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). 16 (6): 392–394. doi:10.1111/j.1365-3164.2005.00469.x. PMID 16359306.
  20. ^ Brewer, George J. "Sheltie von Willebrand's Disease" (dalam bahasa Inggeris). vetGen. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  21. ^ Julie B. Anderson; Kenneth S. Latimer; Perry J. Bain; Heather L. Tarpley. "Von Willebrand's Disease" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 September 2011. Dicapai pada 29 Januari 2024.
  22. ^ "Canine Hip Dysplasia" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  23. ^ Leighton, E.A. (15 Mei 1997). "Genetics of canine hip dysplasia". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 210 (10): 1474–1479. doi:10.2460/javma.1997.210.10.1474. PMID 9154200.
  24. ^ "Collie" (Inggeris). Saunders Comprehensive Veterinary Dictionary. Philadelphia, Amerika Syarikat: Elsevier Health Sciences, 2007. Credo Reference. Web. 17 September 2012.
  25. ^ "Collie-eye information" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  26. ^ Stitt, Katriona. "Collie-eye genetics" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  27. ^ "PRA Canine Health" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  28. ^ McCalla, Terri. "PRA in Dogs" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  29. ^ Haderlie, Peggy and Jan (1983). Sheltie International presents Color Inheritance Charts For the Shetland Sheepdog (dalam bahasa Inggeris). Sheltie International.
  30. ^ Bowling, Sue Ann (11 Mei 2010). "Animal Genetics" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  31. ^ "MDR1 Gene Mutation FAQ" (dalam bahasa Inggeris).
  32. ^ Neff, Mark W; Robertson, Kathryn R.; Wong, Aaron K.; Safra, Noa; Broman, Karl W.; Slatkin, Montgomery; Mealey, Katrina L.; Pedersen, Niels C.; Motulsky, Arno G. (2004). "Breed Distribution and History of Canine Mdr1-1δ, a Pharmacogenetic Mutation That Marks the Emergence of Breeds from the Collie Lineage". Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (dalam bahasa Inggeris). 101 (32): 11725–11730. doi:10.1073/pnas.0402374101. PMC 511012. PMID 15289602.
  33. ^ "MDR1 Gene Mutation- Flier" (PDF) (dalam bahasa Inggeris).
  34. ^ "Problem Drugs - MDR1 Gene Mutation" (dalam bahasa Inggeris).
  35. ^ Serpell, James, ed. The Domestic Dog: its evolution, behaviour and interactions with people (Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Cambridge University Press, 1995. Cetak.
  36. ^ Palika, Liz (2000). How to train your Shetland sheepdog (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: T.F.H. Publications. ISBN 978-0793836628.
  37. ^ "Information on Therapy Dogs - US Dog Registry". US Dog Registry (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  38. ^ "Shelties as Therapy and Assistance Dogs - Shetland Sheepdog Club of Austin". www.shetlandsheepdog.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  39. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  40. ^ Bowling, Sue Ann. "Register of Merit Shetland Sheepdogs" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  41. ^ Bowling, Sue Ann. "Ch Halstors Peter Pumpkin ROM" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Januari 2024.
  42. ^ "Mickey's Farm" (dalam bahasa Inggeris). The Pet Network. Dicapai pada 29 Januari 2024.

Pautan luar