Laila Isabella | |
---|---|
![]() Poster keluaran tayangan | |
Pengarah | Rashid Sibir |
Dihasilkan oleh | Gayatri Su-Lin Pillai (eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh | Kamaruddin Abu |
Muzik oleh | Zulfekar |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh |
|
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 120 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.11 juta |
Pecah panggung | RM2 juta |
Laila Isabella ialah sebuah filem romantik komedi Malaysia 2003 arahan Rashid Sibir, dibintangi barisan pelakon yang berkaliber seperti Rosyam Nor, Nasha Aziz, Hans Isaac dan Saiful Apek.[2] Ia menceritakan tentang perhubungan cinta antara gadis tomboy dan majikanya serta kehendak kakaknya untuk berubah menjadi wanita yang lemah lembut. Filem ini ditayangkan pada 27 Mac 2003.[3][4]
Mengisahkan tentang seorang gadis biasa, lasak dan kasar ala tomboy bernama Laila yang gemar bermain pool dan menaiki skuter. Laila berkawan rapat dengan Azam dan Azam menaruh hati kepada Laila tanpa pengetahuannya. Laila bertugas sebagai pembantu Azam di kedai menjual VCD. Laila jugalah yang menghantar VCD yang dipesan oleh pelanggan. Kedai itu dimiliki oleh Azam, seorang graduan universiti yang tidak bergantung kepada kemewahan keluarganya. Mereka rapat tetapi kerapkali bergaduh.
Menurut Rashid Sibir selaku pengarah filem ini, draf awal skrip Laila Isabella bukan sebuah kisah komedi. Menyedari filem-filem komedi mampu menarik perhatian penonton, skrip filem ini telah diolah semula dan dijadikan sebagai sebuah filem komedi.[5]
Laila Isabella ialah filem keempat terbitan Tayangan Unggul dan filem ketiga arahan Rashid, dan filem cereka pertamanya dalam tempoh enam tahun sejak filem 1996, Sutera Putih.[5] "Sewaktu melakar skrip Laila Isabella, saya membayangkan pelakon yang akan memegang watak utama filem ini, adalah Rosyam Nor dan Nasha Aziz kerana yakin gandingan mantap mereka mampu menghidupkan jalan cerita ini," kata Rashid di majlis pelancaran filem ini pada 16 Mei 2002.[6] Rosyam melakonkan watak utama sebagai Azam, pemilik kedai VCD; Rosyam meluahkan hasratnya untuk 'bercinta' dengan Nasha dalam Laila Isabella menerusi temubual bersama Utusan Malaysia: "Saya telah lama mengimpikan berlakon sebagai pasangan kekasih Nasha".[7]
Nasha pula mengakui menerima tawaran berlakon dalam filem Laila Isabella tanpa membaca skrip terlebih dahulu. Beliau hanya diberi penerangan oleh Rashid mengenai watak dalam filem ini. Ia menjadi percubaan sulung beliau melakonkan dua watak dalam kerjayanya sebagai pelakon.[8] Barisan pelakon lain termasuk Erma Fatima, Hans Isaac, Saiful Apek, Syanie dan Liza Hanim. Penyanyi veteran S.M. Salim membuat penampilan khas.[9]
Laila Isabella ditayangkan perdana di Brunei pada 30 Disember 2002 dan dihadiri oleh ahli kerabat diraja Brunei termasuk Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.[10][11]
Filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Mac 2003 hingga kejayaan komersial dan telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.11 juta.[3][12][13] Kutipan meningkat kepada RM2 juta dalam tempoh 2 minggu tayangannya.[14] Akmal Abdullah dari Berita Minggu beranggapan bahawa Laila Isabella mempunyai "banyak rencah dalam tuntutan penerbitnya mahu menjadikannya sebuah filem dalam kategori 'boleh jual di pawagam'".[15] Sharifah Arfah dari New Straits Times menulis: "Skrip yang lemah mengakibatkan beberapa ketidakkonsistenan tetapi persembahan Nasha dan Rosyam menyelamatkan filem itu".[16] Nahar ARS dalam ulasannya mengenai Laila Isabella berkata: "Persembahan Laila Isabella cukup bagus tetapi perlukan jalan cerita yang lebih baik. Sesuai sebagai filem ringan".[17] Portal web Filem & Wayang pula berpendapat bahawa jalan cerita filem ini mempunyai "plot lancar" dan berkata: "Ini antara filem komedi romantik Melayu moden yang memang betul-betul mengadunkan komedi dan romantik".[18] Dalam ulasan retrospektif mengenai filem ini, Farhana Jafri menulis bahawa moto filem ini kelihatan "tak ada kena mengena dengan cerita" dan berpendapat bahawa ia merupakan sebuah filem "santai".[19]