Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) ( Jawi: مجليس ڤربندرن باتو ڤاهت ) adalah Pihak Berkuasa tempatan yang bertanggungjawab memajukan bandar dan daerah Batu Pahat di Johor, Malaysia.
bil | Nama | Lahir & Meninggal | Tempoh |
---|---|---|---|
Pertama | Tuan Hj. Hamman Bin Hj. Abdul Hamid | 1921 - 2016 | 1982 - 1986 |
Ke-2 | Tuan Hj. Mahek Bin Hj. Abdul Majid | Lahir 1939 | 1986 - 1990 |
Ke-3 | Tuan En. Hashim Bin Tuan Hj. Amban | Lahir 1957 | 1990 - 1992 |
Ke-4 | Tuan Hj. Lokman Bin Hj. Abdul Halim | Lahir 1942 | 1992 - 1997 |
Ke-5 | Tuan En. Karman Bin Tuan Hj. Abdul Sami | Lahir 1964 | 1997 - 2004 |
Ke-6 | Tuan Hj. Ghazaly Bin Hj. Makarim | Lahir 1933 | 2004 - 2014 |
Ke-7 | Hj. Abdul Jawad Bin Hj. Taib | Lahir 1952 | 2014 - 2015 |
Ke-8 | En. Abdul Rashid Bin Hj. Ismail | Lahir 1979 | 2015 - 2022 |
Ke-9 | Tuan Ezahar bin Abu Sairin | Lahir 1979 | 2022 - Kini |
Menurut sejarah, asal usul nama Batu Pahat ialah dari sebuah perigi batu yang dipahat oleh tentera Siam ketika dalam perjalanan hendak menyerang kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1456. Perigi ini lah yang dinamakan perigi Batu Pahat.Perigi ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah yang masih wujud walaupun sudah berusia lebih lima abad. Ia terletak di Kuala Sungai Batu Pahat, iaitu Kampung Minyak Beku.
Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang memulakan usaha membangunkan Bandar Batu Pahat pada tahun 1893. Dengan persetujuan oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim untuk membuka Bandar Batu Pahat, satu upacara perasmian telah dilakukan pada 1 Januari 1894. Satu lagi majlis pengishtiharan diadakan sempena menamakan Bandar Batu Pahat sebagai Bandar Penggaram pada 1 Disember 1984.
Majlis Perbandaran Batu Pahat pada awalnya dikenali sebagai Lembaga Bandaran Penggaram yang ditubuhkan pada tahun 1912 di bawah pemerintahan DYMM Sultan Johor sehingga tahun 1932. Lembaga Bandaran Penggaram telah dinaiktarafkan sebagai Majlis Bandar Penggaram pada tahun 1952. Pada tahun yang sama Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tempatan Parit Raja, Rengit, Semerah, Senggarang, dan Sri Gading. Majlis Bandar Penggaram adalah penguasa tempatan dalam negeri Johor berautonomi kewangan. Ia merangkumi 5.42 batu persegi, dengan jumlah penduduk seramai 54,000 orang.
Dalam mesyuarat pada 10 Ogos 1976, kerajaan Negeri Johor telah mengambil keputusan mengambil tarikh 1 November 1976 sebagai tarikh pelancaran menyusun semula penguasa-penguasa tempatan di Daerah Batu Pahat. Oleh itu daerah ini dibahagikan kepada dua majlis iaitu Majlis Daerah Batu Pahat Barat dan Majlis Daerah Batu Pahat Timur.
Pada 1 November 1976, Majlis Bandaran digabungkan bersama Majlis-Majlis Tempatan Parit Raja, Rengit, Semerah, Senggarang, Sri Gading dan Tongkang Pechah dan dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat Barat (MDBPB).
Kecekapan perkhidmatan dan pengurusan Majlis Daerah Batu Pahat Barat telah memberi langkah kepadanya untuk dinaik tarafkan. Tanggal 1 Januari 2001, setelah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Tempatan Malaysia dan dengan persetujuan Setiausaha Pesuruhjaya Pilihanraya, maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah bersetuju menaiktarafkan Majlis Daerah Batu Pahat Barat kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).Bandar Batu Pahat boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara Selatan menggunakan susur keluar Ayer Hitam (20 km ke timur Batu Pahat) Kluang yang terletak 53 kilometer ke timur Batu Pahat merupakan stesen kereta api yang terdekat.
Majlis Perbandaran Batu Pahat merupakan kerajaan tempatan bagi: