Membangun Bersama Islam (Jawi: ممباڠون برسام إسلام , disingkatkan sebagai MBI) merupakan sebuah slogan yang menjadi dasar pemerintahan dan pentadbiran bagi kerajaan Negeri Kelantan yang berasaskan kepada prinsip UMI[1] iaitu Ubudiyyah (Kehambaan), Masuliyyah (Kebertanggungjawaban) dan Itqan (Ketekunan). Ia mula diperkenalkan pada 1990 selepas Parti Islam Se-Malaysia bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan selepas menang dalam Pilihan raya umum Malaysia 1990.[2]
Prinsip ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Di mana setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diniatkan sebagai ibadah. Justeru, tujuan ibadah itu sendiri merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah. Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.
Masuliyyah pula prinsip berkaitan integriti dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala. Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.
Itqan ialah prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan salih. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan soal keikhlasan atau mutu kerja di mana dari ajaran Islam inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.
MBI merupakan satu slogan siasah ke arah menjana dan merealisasikan hasrat pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam urusan politik dan pentadbiran. Dengan kata lain ia bermaksud maju kehadapan dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam atau sesuai dengan ajaran Allah S.W.T. Slogan ini diatur dan dirangka bagi membolehkan kerajaan meletakkan kedudukan Islam dalam situasi yang selesa, samada dalam aspek melaksanakan ajaran Islam atau bagi tujuan melindungi kepentingan Islam.[3] Slogan MBI ini adalah selaras dengan prinsip kedaulatan syariah, prinsip keberkatan dan kesejahteraan dan prinsip keadilan dan ketakwaan, prinsip amanah dan tanggungjawab.[2]
Dasar "Membangun Bersama Islam" merupakan asas penting dalam menentukan halatuju Kerajaan Kelantan. Ia merupakan falsafah politik yang dinamik dan telah berjaya mencetuskan produk-produk keislaman dalam pentadbiran semasa seperti: penonjolan Islam sebagai dasar kerajaan, pemakaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan tertinggi, peningkatan aktiviti kebajikan, program pembasmian dan pencegahan maksiat termasuk penghapusan kegiatan pelacuran, penyelarasan aktiviti kebudayaan dan kesenian mengikut prinsip Islam, penyediaan sistem perundangan Islam, peningkatan aktiviti dakwah dan penghayatan Islam, penyelarasan aktiviti ekonomi dan kewangan mengikut prinsip Islam, pengukuhan sistem pendidikan Islam, penerapan konsep kepimpinan ulama dan sebagainya. Secara keseluruhannya didapati Kerajaan Kelantan telah menggerakkan siasah syar`iyyah dalam skop bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Negara Sebab itu apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan sistem perundangan Islam, ia telah mendapat tentangan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang akan disentuh dalam tajuk penyediaan sistem perundangan Islam.
Berikut merupakan kesan dasar MBI melalui kepimpinan Haji Nik Abdul Aziz ialah:
Dari 1990-2009, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melarang wanita daripada menyertai tilawah al-Quran . Suara wanita adalah aurat di sisi Islam dan haram untuk dipertandingkan. Pada tahun 1990, nyanyian dan tilawah sama naik. Tidak ada tilawah al-Quran di peringkat negeri dan daerah di Kelantan, pada hal Kelantan terkenal sebagai sebuah negeri Islam . Hanya kanak-kanak wanita umur bawah 12 tahun dibenarkan menyertai nasyid.
Sesetengah qariah dari Kelantan menyertai tilawah di peringkat daerah dan negeri di luar Kelantan .Rahmah Abdullah berasal dari Kelantan pernah muncul juara peringkat antarabangsa mewakili Malaysia selepas menjadi johan di peringkat negeri Johor pada 1990-an.
Pada 6 Februari 2010, Kerajaan Kelantan bersedia mengkaji semula larangan terhadap wanita menyertai tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini berikutan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan imbuhan bulanan RM2,000 seumur hidup kepada qari dan qariah yang pernah menjadi johan dalam tilawah al-Quran peringkat antarabangsa berkuat kuasa Oktober 2010.[8]
Pada 26-27 Mac 2010, Konsert Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di Kelantan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan. EXCO kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa tidak mengharamkan hiburan sebaliknya mengawal pertunjukan hiburan mengikut enakmen hiburan yang diterima pakai di Kelantan.[9]