Naratif Ogonshoto ialah sebuah karya novel yang menghimpunkan 12 buah cerpen tulisan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan yang mengisahkan sebuah negara kepulauan yang menjadi mangsa salah laku ekonomi dan politik. Cetakan pertama Naratif Ogonshoto diterbitkan oleh Matahari Books pada tahun 2001[1], manakala cetakan kedua pula giliran pada tahun 2006.[2]
Menurut Dr. Anwar, beliau mendapat ilham untuk mengarang Naratif Ogonshoto dari krisis kewangan dan kemelut politik Dato Seri Anwar Ibrahim yang melanda Malaysia pada tahun 1998[3], maka terhasilnya "naratif politik" yang bukan sahaja menyentuh perkembangan politik di negara ini, bahkan juga di mana-mana negara yang mengalami kemelut politik dan ekonomi. Beliau mengarang kebanyakan isi kandungan buku ini ketika menjadi Professor Pelawat di Universiti Bahasa Asing di Tokyo[4], selebihnya di Kuala Lumpur.[5] Nama Ogonshoto, ihsan seorang kenalan Dr. Anwar di Jepun, dipetik dari bahasa Jepun iaitu ōgon shotō (黄金諸島 ) yang bermaksud "kepulauan emas."[6]
Naratif Ogonshoto diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tajuk Tales of Ogonshoto pada tahun 2004[7], dan juga ke bahasa Rusia oleh Victor Pogadaev dengan tajuk Bili i nebili ostrovov Ogonsoto (Были и небыли островов Огонсото ) pada tahun 2006[8].