Dato' Dr. Anwar Ridhwan | |
---|---|
Sasterawan Negara Malaysia | |
Dalam jawatan 2009–2011 | |
Didahului oleh | S. Othman Kelantan |
Digantikan oleh | Ahmad Kamal Abdullah |
Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan (5 Ogos 1949 - ) merupakan Sasterawan Negara Malaysia ke-10 dan juga merupakan seorang penulis novel Malaysia. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak yang kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Pada 11 Ogos 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-10 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat beliau yang terletak di Putrajaya.[1]
Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D pada tahun 1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP[2].
Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) (edisi bahasa Rusia oleh Victor Pogadaev, 1996)[3] dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Dr. Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia)[4]. Dua cerpen Anwar Ridhwan ("Sesudah Perang"[5] dan "Sasaran" [6]) turut diterjemahkan oleh Dr. Victor Pogadaev juga ke dalam bahasa Rusia.
"Kemunculan Naratif Ogonshoto menyerlahkan lagi kewibawaan Dr Anwar Ridhwan dalam menggarapkan persoalan nilai kemanusiaan dan konsep demokrasi yang menjadi amat relatif dalam kehidupan pascamoden selain menonjolkan ketrampilan dalam gaya pengolahan' - Dr Victor Pogadaev[7].