Baik Punya Cilok | |
---|---|
![]() Poster promosi | |
Pengarah | Afdlin Shauki |
Penulis | Afdlin Shauki |
Lakon layar | Afdlin Shauki |
Cerita oleh | Afdlin Shauki |
Dihasilkan oleh | Gayatri Su-Lin Pillai (eksekutif) |
Dibintangi |
|
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh | |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Astro Shaw |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 125 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | |
Pecah panggung | RM3 juta |
Baik Punya Cilok ialah sebuah filem aksi komedi Malaysia tahun 2005 arahan sulung Afdlin Shauki yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip.[2][3] Dibintangi oleh beliau sendiri, Hans Isaac, AC Mizal dan Awie sebagai pelakon utama.[4][5][6] Filem ini mengisahkan 4 sahabat iaitu Aben, Bob, Jerry dan Wak yang berpakat untuk merompak Tauke Wong, tauke pajak gadai bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang digadaikannya ketika berkahwin dengan isterinya dulu. Pelbagai peristiwa lucu terjadi semasa mereka melakukan perancangan untuk mendapatkan kerongsang itu semula.[7]
Ditayangkan kepada umum pada 22 Disember 2005, filem ini mengejutkan banyak pihak kerana kutipan tayangan selama seminggu mencecah RM1 juta.[8] Untuk meraikan ulang tahun ke-10, filem ini telah diadaptasikan kepada bentuk teater di Istana Budaya pada tahun 2015.[9] Kesinambungan kedua filem ini sedang dalam perancangan.[10]
Kisah lucu 4 sahabat, Aben (Afdlin Shauki), Bob (Awie), Jerry (Hans Isaac) dan Wak (AC Mizal) yang berpakat untuk merompak Tauke Wong (Patrick Teoh), seorang tauke kedai pajak, bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul (Nadia Mustafar). Menyedari nilainya begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang tersebut, lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak tidak mampu membayarnya.
Dalam keadaan yang terdesak, mereka berempat merancang untuk merompak Tauke Wong, hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang tersebut dengan lagak seperti Robin Hood abad baru. Leman mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu. Sahabat yang lain tidak bersetuju dengan ide Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati, mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa. Namun, Leman kemudiannya telah menarik diri di saat akhir.
Rancangan harus diteruskan dan persiapan rapi diatur. Setelah melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba bagi membuktikan kejantanan mereka. Tanpa diduga, kejutan telah menanti mereka di kedai Tauke Wong. Kedai tersebut telahpun dirompak terlebih dahulu oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya. Dengan sarung kaki wanita sebagai topeng dan timun serta terung yang dibalut bagi menampakkan seperti senjata, mereka telah ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong, atas cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada di dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri. Kawan-kawan yang berada di lokap mula mencurigai Jerry. Ini kerana Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.
Idea asal Baik Punya Cilok ialah daripada Afdlin Shauki dan Hans Isaac.[16][17] Ia merupakan kedua arahan Afdlin selepas filem Buli (2004) dan merupakan filem sulung arahannya bersama Tayangan Unggul.[18] Ia menandakan kolaborasi kedua beliau bersama Hans dan AC Mizal yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Afdlin dalam Buli,[4] dan juga menandakan kolaborasi sulung Afdlin bersama Awie.[4]
Cerita dan skrip untuk Baik Punya Cilok mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan. Untuk filem ini, Afdlin memutuskan untuk tampilkan sepenuhnya pelakon lelaki, manakala pelakon wanita diberikan peranan sekunder.[19][20] Lawak semula jadi tanpa penambahan lawak slapstik ditampilkan bagi memperkuatkan plot dan jalan cerita.[21][22] Menurut beliau, teknik imbas kembali juga digunakan bagi menyoroti rentetan sudut pandang peristiwa tertentu setiap watak dalam gambar pegun hitam putih, yang mana kisah mereka diceritakan oleh tukang karut dengan iringan muzik dikir barat.
Penggambaran dijalankan sekitar Jun dan Ogos 2004 di Lembah Klang, Kuala Kubu Bharu dan Hulu Langat, Selangor.[18][1] Pacai dan Afdlin mencipta skor muzik dan lagu tema filem ini bertajuk sama yang mana, ia dipersembahkan oleh Afdlin sendiri, Hans, AC dan Awie. Beliau bersama Marilyn Jhon dan Sukhdev Singh berkhidmat sebagai penyunting manakala Indera Che Muda sebagai ahli sinematografi. Proses adunan dan sentuhan terakhir dijalankan di Chennai, India.[23]
Pada Jun 2006, Astro Box Office Movies, sebuah saluran berbayar baru daripada stesen tv berbayar Astro yang menayangkan filem-filem pada setiap slot waktu akan menayangkan filem Baik Punya Cilok.
Mulai 22 Febuari 2009, Astro Kirana, sebuah saluran berbayar baru daripada stesen tv berbayar Astro yang menayangkan filem-filem pada setiap slot waktu akan menayangkan filem Baik Punya Cilok. [24]
Setelah 19 tahun filem ini akhirnya Astro Shaw (dahulunya Tayangan Unggul) kembali tayangkan kepada umum di YouTube pada 20 Mei 2024 berikutan promosi filem tema sama berjudul The Experts (filem) .
Baik Punya Cilok dikeluarkan pada 22 Disember 2005 di pawagam seluruh Malaysia semasa musim cuti sekolah, iaitu 5 minggu sebelum filem Buli Balik (2006) yang juga arahan Afdlin ditayangkan di pawagam.[25][26] Filem ini pada asalnya dijadualkan untuk ditayangkan di Singapura pada awal Januari 2006, namun tidak dapat ditayangkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.[27]
Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh seminggu selepas tayangan perdana rasmi,[28][29][30] sekaligus mengatasi kutipan filem King Kong.[31] Pada minggu ketiga tayangannya, filem ini meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta.[32] Menjelang hari terakhir tayangannya, Baik Punya Cilok meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM3 juta.[33]
Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Zainuri Misfar, menulis untuk Berita Harian sifatkan filem ini sebagai "kelakar habis".[34] Roslen Fadzil dari akhbar sama menyifatkan filem ini "memang keras perut!".[35] Shakilawati Abd Rahman dari Metro Ahad pula berpendapat filem ini "ada umph"[36] sambil menyifatkan "idea berbelit" Afdlin membuahkan hasil "sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan sutradara perfileman tersohor tanah air".[37] Happy Dia dalam ulasan retrospektif mengenai Baik Punya Cilok berkata: "Jika komedi selamba yang anda cari, inilah filemnya. Slapstik, tidak terlepas, tetapi dengan gandingan hebat para bintangnya, anda tidak akan peduli itu semua".[38] Brian J. Chong dari Cinema Online memberi 3/5 bintang untuk filem ini dan berpendapat: "Cukup asli dan pintar. Akan tetapi, untuk masa tayangan filem ini, saya percaya filem itu dapat diselang-selikan selama sepuluh hingga lima belas minit yang baik untuk memastikan langkah filem menjadi lebih ketat. Kesimpulannya, jika anda peminat Afdlin Shauki dan telatahnya, filem ini sesuai untuk anda. Bagi mereka yang tidak biasa dengan karya Afdlin, ini ialah peluang anda untuk mendapatkan dos anda".[39] Portal web, Lizzam yang memberikan 4/5 bintang untuk Baik Punya Cilok berkata bahawa filem ini "sememangnya menonjol daripada filem-filem arus perdana lain" dan mengibaratkannya sebagai "Lock, Stock and Two Smoking Barrel versi Malaysia".[40] Sultan Muzaffar pula menganggap filem ini umpama "lawak berdiri versi lebih panjang".[41]
No. | Tajuk | Penyanyi | Masa | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1. | "Baik Punya Cilok" | 4:25 | ||||||||
2. | "Aku Lelaki" | Afdlin Shauki | 4:15 | |||||||
3. | "Kali Pertama" (ft. Reefa) | AC Mizal | 4:00 | |||||||
4. | "Gila Judi" | M. Daud Kilau | 3:57 | |||||||
5. | "Seperti Manamu" | Afdlin Shauki | 4:29 | |||||||
6. | "Asmara" | Gerhana Ska Cinta | 2:19 | |||||||
Jumlah masa: 22:45 |
Baik Punya Cilok telah dicalonkan untuk 5 kategori di Festival Filem Malaysia ke-19, namun gagal menerima pencalonan untuk kategori Filem Terbaik. Bagaimanapun, ia memenangi hanya satu anugerah, iaitu Cerita Asal Terbaik. Filem ini juga telah dicalonkan untuk 3 kategori di Anugerah Skrin 2006, namun tidak memenangi sebarang anugerah.
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan | Ruj. |
---|---|---|---|---|---|
2006 | Festival Filem Malaysia ke-19 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Harun Salim Bachik | Tercalon | [42] |
Cerita Asal Terbaik | Baik Punya Cilok | Menang | |||
Penyunting Terbaik | Sukhdev Singh | Tercalon | |||
Skor Muzik Asal Terbaik | Afdlin Shauki, Pacai | Tercalon | |||
Lagu Tema Asal Terbaik | "Baik Punya Cilok" | Tercalon | |||
Anugerah Skrin 2006 | Lakon Layar Terbaik | Afdlin Shauki | Tercalon | [43] | |
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) | AC Mizal | Tercalon | |||
Filem Terbaik | Baik Punya Cilok | Tercalon |
Kejayaan Baik Punya Cilok turut membawa kepada pementasan teater.[44][45] Afdlin, Awie, AC dan Hans kembali menjayakan watak masing-masing dengan turut disertai oleh barisan pelakon asal filem ini. Filem ini dipilih untuk dipentaskan dalam teater berdasarkan undian yang dijalankan pada Mac 2015. Pacai berkhidmat sebagai pengarah muzik untuk teater ini. Teater Baik Punya Cilok dipentaskan pada 25 April sehingga 1 Mei 2015 di Istana Budaya sempena meraikan ulang tahun ke-10 filem ini.[46]
Pada November 2017, Afdlin mengumumkan bahawa kesinambungan untuk Baik Punya Cilok sedang dalam perancangan. Beliau mendedahkan dalam satu temubual kepada New Straits Times bahawa filem Baik Punya Cilok 2 berkemungkinan akan menjalani penggambaran pada Januari 2018 dengan tempoh penggambaran ialah selama 45 hari di salah satu kawasan perairan Sabah.[10] Beliau dilaporkan berhasrat untuk mengarahkan dua lagi filem Baik Punya Cilok kerana setiap watak utama dalam empat filem mempunyai ceritanya yang tersendiri, katanya: "Pengembaraan pertama ialah mengenai Wak dan yang kedua ialah mengenai Bob - Jerry dan Aben akan menyusul pada tahun-tahun yang akan datang".[10]