Hairul Azreen | |
---|---|
هاءيرول ازرن | |
![]() Hairul di studio MeleTOP pada Januari 2015. | |
Kelahiran | Hairul Azreen bin Idris 23 April 1993 |
Pekerjaan | Pelakon, pelagak ngeri, model, pengarah, penerbit |
Tahun aktif | 2008–2023 |
Ketinggian | 1.70 m (5 ka 7 in) |
Pasangan | Hanis Zalikha (k. 2015) |
Anak-anak | 2 (termasuk Yusuf Iskandar) |
Hairul Azreen Idris (Jawi: هاءيرول ازرن ادريس; lahir 23 April 1993) merupakan seorang pelakon, pelagak ngeri, model dan pengarah lelaki Malaysia. Memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sebagai pelagak ngeri sebelum bergiat aktif sebagai pelakon, beliau merupakan Juara Fear Factor Malaysia (Musim 1) bersama Dazrin Kamarudin.
Beliau telah berlakon dalam beberapa siri drama TV termasuk Bio-Nik (2009), Ponti Anak Remaja (2010), Setia Hujung Nyawa (2013) dan Misiku Kuza (2013–2014). Antara filem lakonan beliau ialah Hantu Kapcai (2012), Gila-Gila Remaja 2 (2013), Pak Pong (2017) dan PASKAL (2018).
Hairul Azreen dilahirkan pada 23 April 1993 di Kuala Lumpur kepada ibu bapanya Idris Ali dan Habsah Desa. Beliau mempunyai adik-beradik seramai empat orang, beliau ialah anak kedua. Hairul berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau mempelajari seni mempertahankan diri Taekwondo, sekaligus menerima tali pinggang hitam serta pernah menjadi atlet Sukan Malaysia 2004 untuk kontinjen Selangor.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pada tahun 2007 Hairul bekerja sebagai tukang cat jalan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan bayaran RM50 sehari. Beliau pernah berdepan risiko dilanggar kenderaan yang dipandu laju ketika melakukan tugas mengecat. Beliau kemudian bertukar kerja sebagai penarik kereta bagi mereka yang tidak melangsaikan bayaran bank.[1] Selepas itu, beliau bekerja sebentar sebagai jurujual jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).[2][3]
Hairul memulakan kerjaya awalnya sebagai pelagak ngeri untuk beberapa filem tempatan.[4] Drama pertama lakonannya ialah menerusi drama arahan Shahrulezad Mohameddin, Rona Roni Makaroni yang dibintangi oleh Sharifah Amani, Dira Abu Zahar, Sharifah Sofia, Wan Sharmila, Bront Palarae dan Azma Aizal Yusoof. Ia diikuti oleh peranan pembantu dalam siri drama cereka sains Bio-Nik lakonan Kamal Adli pada 2009.
Hairul kemudiannya bekerja di bawah arahan Ghaz Abu Bakar menerusi drama seram misteri Ponti Anak Remaja lakonan Liyana Jasmay.[5] Beliau membuat penampilan pertama di layar lebar menerusi filem Senario The Movie Ops Pocot arahan Ismail Bob Hashim lakonan kumpulan Senario. Hairul kemudian menjayakan peranan pembantu sebagai Akim dalam filem Hantu Kapcai arahan Ghaz lakonan Zizan Razak dan Remy Ishak.[6] Hairul juga muncul sebagai pelakon dalam muzik video lagu "Cinta Muka Buku" nyanyian Najwa Latif.
Pada tahun 2013, beliau bersama pelakon Dazrin Kamarudin menyertai rancangan realiti Fear Factor Malaysia yang dihoskan oleh Aaron Aziz dan dinobatkan sebagai juara.[7][8][9][10] Selain itu, beliau berlakon di samping Ako Mustapha, Zed Zaidi, Zul Yahya, dan Zarina Zainuddin dalam siri 5 Bujang arahan sulung Eizlan Yusof bersiaran di Slot Cindai TV1. Ia mengisahkan tentang lima sahabat, Tarmizi, Benn, Otai, Johari dan Borhan, yang menyewa sebuah rumah tidak mempunyai pendidikan tinggi, namun mengambil berat antara satu sama lain.[11]
Hairul mendapat perhatian meluas menerusi watak sebagai Airiel dalam drama perubatan, Misiku Kuza yang dibintangi oleh Erin Malek dan Arja Lee. Teman wanitanya ketika itu, pelakon Faralyna Idris turut berlakon.[12] Selain itu, Hairul bersama Faralyna menjayakan peranan utama dalam filem arahan V. Nagaraj, Gila-Gila Remaja 2, kesinambungan dari filem 1985, Gila-Gila Remaja arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan lakonan Faizal Hussein. Beliau memegang watak Afiq yang berasal dari keluarga kaya dan minat perlumbaan motosikal serta gemar menari.[13] Filem ini turut dibintangi oleh Taiyuddin Bakar, Fizz Fairuz dan Bella Dally.
Beliau bersama isteri Hanis Zalikha muncul dalam rancangan Hairul & Hanis Junior yang bersiaran di Astro Ria, kemudian diikuti oleh My Little Heroes: Yusuf & Bujibu yang menampilkan anaknya, Yusuf Iskandar sebagai tunjang utama.[14][15] Hairul membintangi filem bomba pertama Malaysia, Qhaliq arahan Rosli Mohd Taib.[16][17][18]
Pada 27 September 2018, Hairul merupakan salah seorang pelakon utama filem PASKAL arahan Adrian Teh bersama-sama Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Henley Hii dan Jasmine Suraya Chin; beliau memegang watak sebagai Arman.[19][20] Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan menerima ulasan positif daripada media.[21][22] Kembali bekerja dengan Adrian, Hairul memegang watak sebagai Hassan dalam filem WIRA yang ditayangkan pada 21 November 2019.[23]
Beliau kembali bekerja di bawah arahan Adrian Teh menerusi filem Pasal Kau! yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penerbit eksekutif dan pengarang cerita asal. Dikeluarkan pada 1 Oktober 2020 di Netflix, ia turut dibintangi oleh Janna Nick, Amerul Affendi, Henley Hii dan Sophia Albarakbah.[24][25]
Hairul menduduki kerusi pengarah menerusi filem pertama arahannya, Ada Hantu yang ditayangkan pada 13 Ogos 2021 di Disney+ Hotstar.[26][27]
Hairul mengumumkan dalam satu temubual dalam rancangan 3 Pagi Era di stesen radio Era pada 21 Ogos 2023 bahawa beliau akan bersara daripada kerjaya lakonannya selepas tepat 15 tahun. Filem Malbatt: Misi Bakara yang ditayangkan pada 24 Ogos 2023 akan menjadi filem terakhir lakonannya.[28] Beliau mengatakan tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya menjadi sebab untuk bersara dari bidang lakonan.[29][30]
Beliau sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan pelakon Faralyna Idris sekitar 2011 dan berhasrat untuk berkahwin dengannya.[31] Namun, hubungan mereka berakhir pada Februari 2013.[32] Beliau berkahwin dengan pelakon, pengacara dan penulis blog Hanis Zalikha pada 8 Jun 2015.[33][34] Bersama Hanis, beliau dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yusuf Iskandar yang dilahirkan pada 3 Jun 2016.
Pada 26 Januari 2018, beliau telah dipanggil oleh pihak polis bagi memberi keterangan di Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berhubungan penyebaran rakaman video berdurasi 49 saat yang menunjukkan Hairul melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah jenis SK500, dimiliki bapa saudaranya berusia 70 tahun, yang turut kelihatan dalam video berkenaan di Kampung Parit Jerman, Sitiawan dan mendakwa aksi menembak itu dirakam dua tahun lalu dan tidak menyangka video itu tersebar luas.[35][36][37]
Beliau sekali lagi menjadi bualan hangat apabila video ‘aksi terbang’ miliknya menjadi tular di media sosial pada Februari 2018. Aksi Hairul yang menaiki eskalator dengan gaya meniarap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu telah mendapat kecaman daripada netizen.[38]
Hairul dilaporkan mengalami kecederaan semasa melakukan aksi terjun untuk filem Wira pada 1 Mei 2019, yang menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.[39][40] Pada 24 Mei 2019, Hairul dan isteri, Hanis Zalikha dikurniakan cahaya mata kedua, iaitu anak perempuan yang diberi nama Alisa Aisyah; beliau turut memaklumkan yang kedua-dua anak beliau dilahirkan pada hari Jumaat.[41][42][43][44]
Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan |
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2011 | Senario The Movie Ops Pocot | Maman | Filem pertama |
2012 | Keramat | Nasti | |
Hantu Kapcai | Akim | ||
2013 | Gila-Gila Remaja 2 | Afiq | |
2017 | Pak Pong | Muda | |
Pencuri Hati Mr. Cinderella | Boy | ||
2018 | Qhaliq | Qhaliq | |
PASKAL | Arman Rahmat / Jerung | ||
Operasi X | Pablo | ||
Polis EVO 2 | Zul | ||
2019 | Wira | Hassan | |
2020 | Pasal Kau! | Aiman | Juga sebagai penerbit eksekutif dan cerita asal |
2021 | Ada Hantu | Talha | Juga sebagai pengarah dan penerbit eksekutif |
2022 | The Assistant | Feroz | |
Abang Long Fadil 3 | Pegawai Penjara | ||
Ada Hantu 2 | Talha | Sebagai pengarah dan penerbit eksekutif | |
2023 | Malbatt: Misi Bakara | Leftenan Ismail | |
2024 | The Original Gangster | Que | Pos-produksi dan Filem terakhir sebagai pelakon |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2008 | Rona Roni Makaroni | Boy | Astro Ria | Drama pertama |
2009 | Bio-Nik | Hairul | TV3 | |
Senandung Si Dayang | ||||
Merah Putih | Beego | |||
2010 | Mahabbah De Laila | Wa'ad | TV9 | |
Ponti Anak Remaja | Farid | Astro Ria | ||
2011 | Kali Kedua | Azmi | TV9 | |
Dingin Lavenda | Tajul | TV3 | ||
Ahmad Albob Yang Punya | Rejab | |||
Asmara 2 | Fikri | |||
2012 | Sirrun | Khalid | TV9 | |
Indera Joned | Aiman | TV3 | ||
Setia Hujung Nyawa | Ikram | |||
2013 | Anak Bertuah | Lokman | TV2 | |
5 Bujang | Tarmizi | TV1 | ||
Misiku Kuza (Musim 1) | Airiel | Astro Ria | ||
2014 | Misiku Kuza (Musim 2) | |||
Baby Ana Milik Siapa? | Reza | TV3 | ||
2015 | Salam Dari Seoul | Aiman | TVi | |
Merah Mawar Di Kundasang | Ashraf | |||
2016 | Dia Semanis Honey | Adam Hazrul | Astro Ria | |
2018 | Pelangi Cinta | Rahman | TV3 | Drama terakhir |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2009 | Siti Tivi | Astro Ria | |
2010 | Fotokopi | TV2 | |
2012 | Korban Kasih | Imran | TV AlHijrah |
2013 | 7 Dulang Asam Pedas | TV1 | |
Untuk Terakhir Kali | Shah | Astro Ria | |
Banglo Seksyen 2 | Helmi | ||
Syawal Buat Abang | Rustam | TVi | |
Awang Senandung | Awang | TV9 | |
Aku Bukan Buaya | Farell Redza | TV3 | |
2014 | Penunggu Bayang | Ariff | Astro Mustika HD |
Sayang Saranghae | Remy | TVi | |
Diari Dewi | Adrian | TV9 | |
Ku Akui | Wafi | TV1 | |
Bermulanya Di Sini | Amir | TV AlHijrah | |
Bibik Aku Nak Kahwin | Astro Ria | ||
2015 | Ibu Mummy Mama | Faiz | TV2 |
Dalam Pelukan Ramadhan | Shah Eizlan | Astro Ria | |
2016 | Jangan Ambil Botol Itu | Jamal | TV9 |
Lara Cinta Qaseh | TV2 | ||
2021 | Kain Kafan Berbisik | Muaz |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2013 | Fear Factor Malaysia (Musim 1) | Peserta | Astro Ria | berpasangan bersama Dazrin Kamarudin |
Betul ke Bohong? (Musim 4) | Artis jemputan | Astro Warna | ||
2014 | Betul ke Bohong? (Musim 5) | |||
2016 | Hairul & Hanis Junior | Dirinya sendiri | Astro Ria | |
2017 | Running Man Challenge Hydrated by 100PLUS | |||
2018 | My Little Heroes: Yusuf & Bujibu | |||
2019 | Separuh Akhir Maharaja Lawak Mega 2018 | Juri | Astro Warna | |
2020 | The Masked Singer Malaysia (musim 1) | Peserta | sebagai Ayam Jantan |
Tahun | Tajuk | Peranan | Catatan |
---|---|---|---|
2023 | Studio Sembang | Artis Jemputan | bersama Amelia Henderson |
Tahun | Tajuk | Penyanyi |
---|---|---|
2011 | "Cinta Muka Buku" | Najwa Latif |
Tahun | Tajuk |
---|---|
2014 | "Semerah Mawar Merah" |
Tahun | Anugerah | Kategori | Pencalonan | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2008 | Pencarian Kacak Bergaya 2008 | Tempat ke-3 | — | Menang |
2013 | Fear Factor Selebriti Malaysia | Juara (bersama Dazrin Kamarudin) | Menang | |
2016 | Anugerah MeleTOP Era 2016 | Couple MeleTOP | Hanis Zalikha & Hairul Azreen | Tercalon |
2023 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 | Aktor Filem Popular | — | Tercalon |