Negara asal | Jerman atau Perancis (lihat sejarah) | ||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||||||||
| |||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Pudel[a] ialah satu baka anjing air. Baka ini dibahagikan kepada empat keragaman berdasarkan saiz, iaitu pudel besar[b] atau pudel piawai,[c] pudel sederhana[d] atau pudel kecil,[e] pudel kerdil[f] atau pudel katik,[g] dan pudel mainan,[h] walaupun pudel sederhana tidak diiktiraf di semua tempat. Ia mempunyai lapis bulu keriting tebal tersendiri yang terdapat dengan banyak warna dan corak dengan hanya warna-warna padu yang diiktiraf oleh pejabat pendaftaran baka. Pudel adalah aktif dan cerdas dan khususnya mampu belajar daripada manusia. Pudel cenderung untuk hidup sehingga 10–18 tahun, dengan keragaman lebih kecil yang cenderung untuk hidup lebih lama daripada yang lebih besar.
Pudel mungkin sekali berasal dari Jerman, walaupun Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) dan sebahagian kecil ahli kinologi percaya bahawa ia berasal dari Perancis. Anjing serupa bertarikh kembali sekurang-kurangnya ke abad ke-17. Pudel lebih besar pada asalnya digunakan oleh pemburu unggas buruan untuk mengutip buruan dari air, sementara keragaman lebih kecil pernah umum digunakan sebagai penghibur sarkas. Pudel diiktiraf oleh kedua-dua The Kennel Club United Kingdom dan American Kennel Club (AKC) tidak lama selepas pengasasan kelab-kelab itu. Sejak pertengah abad ke-20, pudel telah mengalami kepopularan besar sebagai anjing peliharaan anjing pertunjukan – Pudel ialah baka paling berdaftar AKC dari tahun 1960 hingga tahun 1982 dan kini baka ketiga paling berdaftar FCI. Pudel juga umum dalam pertunjukan anjing dengan peserta yang kerap memiliki pangkasan benua yang diiktiraf secara popular, dengan muka dan punggung yang dipangkas rapat-rapat, dan gombak bulu pada keting dan di hujung ekor.
Kebanyakan ahli kinologi percaya bahawa pudel berasal dari Jerman pada Zaman Pertengahan, daripada anjing yang serupa dengan pudel besar kini. Pudel ialah anjing air Jerman, sebagaimana England mempunyai spaniel air Inggeris, Perancis mempunyai barbet, Ireland mempunyai spaniel air Ireland, dan Belanda mempunyai wetterhoun.[1][2][3][4][5] Antara bukti yang digunakan untuk menyokong teori ini ialah nama bahasa Jermanik untuk baka ini, pudel atau "Pudel" dalam bahasa Jerman, yang diterbitkan daripada perkataan bahasa Jerman Hilir "puddeln", yang memaksudkan "memercik, memercikkan". Banyak karya oleh pelbagai seniman Jerman dari seawal abad ke-17 menggambarkan anjing daripada jenis pudel yang dikenali.[1][2][3][5] Sesetengah ahli kinologi percaya bahawa pudel berasal dari Perancis yang mengenalinya sebagai "caniche" dan bahawa baka ini diturunkan daripada barbet. Pandangan ini dikongsi oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI).[6][7][8][9] Yang lain pula berhujah bahawa baka ini berasal dari Rusia, Piemonte, atau Afrika Barat Laut.[4][9]
Walau apa pun negara asal pudel, kedua-dua nama baka Jerman dan Perancis menunjukkan bahawa leluhur kepada pudel moden digunakan secara meluas oleh pemburu unggas air untuk mengutip buruan tertembak dan memulihkan anak panah hilang yang telah terlepas daripada sasaran.[3][4]
Oleh sebab kecerdasan, sifat patuh, atletisisme, dan rupa, pudel kerap digunakan dalam sarkas, khususnya di Perancis.[2][3][5][9] Dalam sarkas Perancis, pudel dikecilkan melalui pembiakbakaan terpilih untuk menghasilkan anjing yang kini dikenali sebagai pudel kerdil[f] atau pudel katik,[g] yang dikenali sebagai pudel mainan sehingga tahun 1907, kerana anjing bersaiz lebih kecil lebih mudah dikendalikan dan diangkut dalam sarkas bergerak.[5] Sebagai penghibur sarkas, keragaman itu kerap terlihat melakukan segala macam trik termasuk berjalan di atas tali tegang, melakonkan komedi, malah juga melakukan silap mata dan helah kad.[2][3][5]
Pudel mainan[h] dihasilkan pada permulaan abad ke-20 apabila pembiak baka sekali lagi mengecilkan pudel kerdil atau pudel katik melalui pembiakbakaan untuk menghasilkan anjing pendamping popular.[2][3][5] Pada mulanya, usaha ini mengakibatkan anak anjing cacat serta anak anjing dengan masalah tingkah laku akibat pembiakbakaan tidak bertanggungjawab untuk saiz kerdil sahaja. Apabila amalan pembiakbakaan baharu diterima pakai, keragaman itu menjadi tetap sebagai replika bersaiz mainan bagi yang asli.[2][3][5] Percubaan lanjut untuk menghasilkan keragaman malah lebih kecil, iaitu pudel cawan teh, tidak dapat mengatasi keabnormalan genetik serius dan ditinggalkan.[5]
Keragaman pudel terakhir yang diiktiraf ialah pudel sederhana[d] atau pudel kecil,[e] yang saiznya di tengah-tengah antara pudel besar[b] atau pudel piawai[c] dengan pudel kerdil atau pudel katik. Pudel sederhana yang tidak diiktiraf secara universal oleh kelab kenel di dunia diiktiraf oleh FCI dan kebanyakan kelab kenel Eropah Benua.[3][5][6][7][8] Salah satu sebab untuk menghasilkan keragaman saiz keempat ini mungkin merupakan keinginan untuk mengurangkan angka peserta pudel menurut keragaman dalam pertunjukan pengakuran.[5]
Pudel diiktiraf oleh The Kennel Club United Kingdom pada tahun 1874 dan oleh American Kennel Club (AKC) pada tahun 1886, tidak lama selepas pengasasan kedua-dua kelab.[10] Di Amerika Syarikat, pudel tidak popular sehingga tahun 1935, apabila pudel Nunsoe Duc de la Terrace memenangi best in show dalam pertunjukan Westminster.[11] Selepas itu, ia secepatnya menjadi terkenal, lalu menjadi baka paling banyak berdaftar AKC dari tahun 1960 hingga tahun 1982.[12] Sejak tahun 1935, pudel telah memenangi best in show dalam pertunjukan Westminster sebanyak 10 kali, yang kedua paling banyak antara mana-mana baka.[13] Setakat tahun 2012, pudel ialah baka berdaftar FCI ketiga paling popular di seluruh dunia, selepas anjing pengutip Labrador dan anjing gembala Jerman, dengan 118,653 ekor anjing baharu yang didaftarkan pada setiap tahun dari 25 buah negara yang ditinjau.[14]
Pudel ialah baka aktif dan atletik dengan keragaman yang kebanyakannya berlainan mengikut saiz.[1][2][3] Piawaian baka FCI menyatakan bahawa pudel besar atau pudel piawai berdiri setingg 45–62 sentimeter (18–24 in), pudel sederhana atau pudel kecil setinggi 35–45 sentimeter (14–18 in), pudel kerdil atau pudel katik setinggi 28–35 sentimeter (11–14 in), dan pudel mainan setinggi 24–28 sentimeter (9.4–11.0 in).[6][7][8]
Kelab kenel yang tidak mengiktiraf keragaman pudel sederhana biasanya mempunyai pudel piawai yang setinggi 38–60 sentimeter (15–24 in) dan pudel katik yang setinggi 28–38 sentimeter (11–15 in), dengan keragaman mainan yang kekal tidak berubah.[3][5]
Pudel piawai dewasa sihat biasanya berukuran seberat 20–32 kilogram (44–71 lb), pudel sederhana seberat 15–19 kilogram (33–42 lb), pudel katik seberat 12–14 kilogram (26–31 lb), dan pudel mainan seberat 6.5–7.5 kilogram (14–17 lb).[3]
Pudel mempunyai lapis bulu tebal dan keriting dengan helaian bulu kasar. Pemilik haiwan peliharaan dapat menjangkakan dandanan pudel setiap empat hingga lapan minggu.[15]
Pudel kerap disebut sebagai baka anjing hipoalergenik. Setiap folikel bulu mempunyai tempoh pertumbuhan aktif yang lebih lama daripada yang untuk banyak baka lain; sekali dengan lapis bulu bergulung rapat, yang memperlahankan kehilangan bulu gugur dan bulu mati dengan memerangkapnya di dalam keriting, pudel mungkin melepaskan kurang bulu ke persekitaran. Walau bagaimanapun, penyelidik pada umumnya belum menemukan perbezaan alergen merentasi baka.[16][17][18]
FCI dan AKC mengizinkan agar pudel ditunjukkan dalam dengan gaya pangkasan bulu anak anjing, gaya pangkasan bulu benua (singa dalam piawaian FCI), gaya pangkasan bulu pelana Inggeris, atau gaya pangkasan bulu sukan (moden). FCI turut mengiktiraf gaya pangkasan bulu Skandinavia.[19][6][7][8] Yang paling popular dalam gelanggang pertunjukan ialah gaya pangkasan bulu benua, iaitu apabila bulu pada muka dan punggung tubuh dipangkasa, lalu meninggalkan jumbai pada keting dan hujung ekor dan roset pada pinggul.[20][19] Gaya pangkasan bulu serupa pernah digunakan dalam sejarah untuk menghalang pudel daripada terbeban oleh berat bulunya apabila berenang untuk mengutip burung, sambil tetap membiarkan sendi dan organ pentingnya tertutup.[13] Pudel peliharaan paling kerap dipangkas serupa dengan gaya pangkasan bulu sukan — sekata pada seluruh tubuh dengan bulu pada muka dan kaki yang dipotong lebih pendek.[20]
Dalam kebanyakan kes, sama ada pudel memilik gaya pangkasan bulu peliharaan atau pertunjukan, bulunya diberus sepenuhnya. Bulu pudel juga dapat "dipintalkan" dengan kusutan mirip tali yang serupa dengan yang pada komondor atau rambut pilinan manusia. Walaupun pernah kerap seperti pudel keriting, pudel terpintal kini jarang. Lapis bulu terpintal sukar dikekalkan bersih-bersih dan mengambil masa lama untuk kering selepas dicuci.[21] Pudel terpintal boleh ditunjukkan dalam semua pertunjukan kelab kenel besar.[6][7][8][22]
Pudel mempunyai pelbagai jenis pewarnaan, termasuk putih, hitam, perang, biru, kelabu, perak, kopi susu, kuning air perak, krim, aprikot, dan merah, dan corak seperti warna-warni, abstrak, sabel, brindle, dan fantom .[23][24] Pewarnaan beriktiraf FCI merupakan hitam, putih, perang, kelabu, dan perang kekuning-kuningan.[6][7][8] Pengiktirafan pudel berbilang warna berbeza-beza mengikut pejabat pendaftaran. Dahulu ia kerap, tetapi menjadi kurang popular pada awal tahun 1900-an, dan terkecuali daripada banyak pejabat pendaftaran.[25] American Kennel Club (AKC) mengiktiraf pudel sama ada dengan lapis bulu berwarna padu dan berbilang warna; walau bagaimanapun, hanya pudel berwarna padu boleh bersaing dalam pengakuran.[19][26]
Pudel berwarna-warni mempunyai tompok-tompok dengan mana-mana warna padu lain di atas lapis bulu yang terutamanya putih.[27] Apabila pudel berwarna-warni mempunyai tanda-tanda hitam dan putih yang menyerupai tanda-tanda tuksedo, ia dipanggil pudel "tuksedo".[28] Pudel abstrak terutamanya berwarna padu dengan tompok-tompok putih.[27] Pudel fantom mempunyai warna utama padu dengan warna lebih cerah yang muncul pada "kening", muncung dan tekak, tungkai dan kaki, serta di bawah ekornya. Pudel fantom juga mungkin mempunyai muka penuh berwarna sekunder.[27]
Pudel ialah baka amat cerdas, bertenaga, dan mudah bergaul. Buku tahun 1994 oleh Stanley Corey meletakkannya di tempat kedua antara 130 baka dari segi "kecerdasan kerja dan kepatuhan", iaitu ukuran keupayaannya untuk belajar daripada manusia.[29] Kesiluan atau ketajaman dianggap sebagai kecacatan serius pada baka ini.[19]
Kelanjutan usia pudel berbeza-beza berdasarkan saiz, kerana anjing lebih kecil hidup lebih lama daripada anjing lebih besar.[30] Sebuah kajian di Jepun mendapati bahawa pudel mainan mempunyai kelanjutan usia selama 12.7 tahun.[31] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 14 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[32] Sebuah kajian Sweden tahun 2005 mendapati bahawa 25% daripada jumlah pudel katik dan pudel mainan mati menjelang usia 10 tahun, yang lebih rendah daripada kadar keseluruhan pada 35% daripada jumlah anjing yang mati menjelang usia 10 tahun.[33]
Pudel menderitai sebilangan penyakit keturunan. Poodle Health Registry menyenaraikan lebih daripada 50 gangguan kesihatan besar bagi pudel piawai.[10] Sesetengah penyakit keturunan umum paling teruk pada pudel merupakan penyakit kulit adenitis sebum (anggaran prevalens 2.7%) dan penyakit Addison, iaitu satu gangguan sistem endokrin. Kedua-dua penyakit menjadi lebih prevalen pada pudel ledakan tahun 1960-an dari segi kepopularan pudel yang membawa kepada pembiakbakaan pesat yang bertujuan untuk menghasilkan anjing pertunjukan bagus. Pembiakbakaan tertumpu pada sebilangan kecil susur galur popular, lalu mewujudkan kejejalan genetik.[34][10] Sebuah kajian menganggarkan bahawa dua ekor pudel piawai purata adalah kira-kira berkait rapat seperti anak kepada dua ekor anjing kampung yang bersaudara.[34]
Pudel cenderung terhadap keadaan dermatologi berikut: penyakit kulit alahan, alopesia X atau hentian folikel, alopesia tapak suntikan, otitis luaran, melanoma, dan adenitis sebum.[35]
Pudel cenderung terhadap hipotiroidisme[36][35] dan sindrom Cushing.[37]
Pudel ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat degenerasi rod-kon progresif. Suatu mutasi resesif autosom pada gen PRCD bertanggungjawab atas keadaan ini pada baka ini.[38]
Pudel pada asalnya dibiakbakakan untuk pemburuan unggas air.[6][7][8] Walaupun terdapat sejarah ini, ia buat masa ini dikelaskan sebagai anjing teman oleh FCI.[6][7][8] Sejak lewat tahun 1980-an, sesetengah pembiak baka di Amerika Syarikat dan di Kanada telah memilih anjing dengan dorongan terhadap burung untuk menghidupkan baka ini semula untuk perburuan dengan sedikit kejayaan.[39] Pudel ialah anjing yang sangat mudah dilatih yang biasanya cemerlang dalam pelatihan kepatuhan.[23] Dari segi sejarah, ia merupakan anjing sarkas popular. Selain ujian perburuan, ia cemerlang dalam ketangkasan dan rally.[13] Ia merupakan antara baka anjing khidmat paling popular.[40]
Pudel telah digunakan sebagai anjing pekerja dalam ketenteraan sejak sekurang-kurangnya abad ke-17, kemungkinan besar kerana sifat amat cerdas dan boleh latih. Latar belakangnya sebagai anjing pemburu menjadikannya sesuai untuk medan perang dan ia dapat dilatih untuk mengabaikan tembakan senjata api. Semasa Perang Saudara England, Putera Rupert dari Rhein mempunyai seekor pudel pemburu masyhur yang bertempur dengan tuannya yang menunggang kuda. Napoleon Bonaparte menulis dalam memoir beliau tentang kesetiaan pudel peliharaan milik seorang grenadier yang kekal bersama mayat tuannya dalam Pertempuran Marengo.[41]
|pmc=
value (bantuan). PMID 38232117 Check |pmid=
value (bantuan). S2CID 267029361 Check |s2cid=
value (bantuan).
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid=
value (bantuan).
Anjing berasal dari Jerman | ||
---|---|---|
Hound | ||
Gundog | ||
Anjing gembala | ||
Anjing bumi | ||
Anjing mainan | ||
Lain-lain | ||
Pupus |