Republik Divehi ريڤوبليك ديۏيهي ދިވެހިރާއްޖޭގެ ޖުމްހޫރިއްޔާ (Divehi Rājjēge Jumhuriyyā) | |||||
---|---|---|---|---|---|
| |||||
Lagu kebangsaan: Qaumii salaam Salam Bangsa/Kaum | |||||
Ibu negara | Malé | ||||
Bahasa rasmi | Bahasa Divehi | ||||
Bahasa yang diiktiraf | Bahasa Inggeris | ||||
Kumpulan etnik | ≈100% orang Divehi[1][2][3] | ||||
Kerajaan | Republik berpresiden | ||||
• Presiden | Mohamed Muizzu | ||||
• Naib Presiden | Hussain Mohamed Latheef | ||||
Mohamed Aslam | |||||
Keluasan | |||||
• Jumlah | 300[4] km2 (120 bt2) (ke-186) | ||||
Populasi | |||||
• Perkiraan 2020 | 557,426 atau 379,270 oranga [5] (ke-178) | ||||
• Bancian Penduduk 2014 | 437,535 atau 339,761 oranga [5] | ||||
1,102.5/km2 (2,855.5/sq mi) (ke-11) | |||||
KDNK (PPP) | 2021 | ||||
• Jumlah | ▲ $8.972 billion[6] (ke-163) | ||||
▲ USD23,343 [6] (ke-58) | |||||
KDNK (nominal) | 2021 | ||||
• Jumlah | ▼ USD4.536 bilion[6] (156th) | ||||
▼ $11,801[6] | |||||
Gini (2005–2013) | 37.4[7] sederhana · ke-76 (CIA) | ||||
HDI (2019) | ▲ 0.740[8] tinggi · ke-95 | ||||
Mata wang | Rufiyaa ( MVR ) | ||||
Zon waktu | () | ||||
Arah memandu | kiri | ||||
Kod panggilan | 960 | ||||
Kod ISO 3166 | MV | ||||
DPT internet | .mv |
Republik Divehi (Divehi: ދިވެހިރާއްޖެ Dhivehi Raajje, nama rasmi ) atau juga dikenali dengan nama bahasa Inggerisnya Maldives adalah sebuah negara pulau mengandungi gugusan kepulauan terumbu karang yang terletak di Lautan Hindi, di selatan pulau Lakshadweep, India. Ia terletak kira-kira 700 kilometer atau (435 batu) ke barat daya Sri Lanka. Terdapat 26 terumbu diwartakan sebagai wilayah yang mengandungi sebanyak 1,192 kepulauan kecil. Namun begitu, hanya kira-kira 200 pulau sahaja yang didiami oleh manusia.
Kepulauan ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada jajahan Portugis (1558), Belanda (1654) dan hak milik penjajah British (1887). Pada tahun 1965, Maldives mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Britain, dan pada 1968, sistem Kesultanan telah digantikan dengan sebuah Republik.
Nama negara ini dalam bahasa Divehi iaitu ދިވެހިރާއްޖެ Dhivehi Rajje sempena bangsa Divehi (ދިވެހި Dhivehi) yang menduduki kepulauan ini, nama mereka sendirinya diakar ungakapan Sanskrit द्वीपवासिन् dvīpa-vāsin "penghuni pulau".[9] Cogan kata jata kebangsaannya menggunakan bentuk Arab namanya iaitu المَحَلدِيبِيَة Al-Maḥaldībīyāh yang berkaitan dengan دِيبِيَة Dībīyāh digunakan manuskrip Akhbar al-Sin wa'l-Hind bertarikh 852 Masihi;[10] Ibn Battutah sendiri mencatatkan nama kepulauan tersebut sebagai ذِيبَةُ المَحَل Dzībat ul-Maḥal yakni "kepulauan[a] kota Malé[b]";[11] begitu juga dalam kitab mengenai kepulauan tersebut terawal bertarikh abad ke-18 iaiu Tarīkh Islam Dībat Maḥal ("Sejarah Islam di Kepulauan Maḥal") dikarang seorang kadi bernama Ḥassan Taj ad-Dīn.[10]
Kepulauan ini mempunyai nama tertentu digunakan dalam persuratan Melayu klasik iaitu Baldewa (Jawi: بلدوي ) yang ada dicatatkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa.[12] Sebuah peta Bugis abad ke-19 yang disimpan perpustakaan Universiti Utrecht turut mencatatkan nama suatu kepulauan Maladiwa (Aksara Lontara: ᨆᨛᨒᨉᨗᨓᨗ) waima tidak tepatnya terletak bersebelahan kepulauan Nakkavaram di barat laut yakni belah penjuru kiri mata pembaca.[13]
Rencana utama: Sejarah Maldives |
Maldives dikira sudah memiliki kerajaan yang tertubuh sejak abad ke-6/5 SM.[14] Negara ini memiliki sejarah lebih 2,500 tahun menurut bukti sejarah dan legenda.[15] Pemukim awal kepulauan Maldives kemungkinan ialah orang Gujarat yang tiba dan menetap di Sri Lanka pada sekitar 500 SM. Bukti pengaruh budaya dari India Utara dapat dilihat dari gaya pembuatan kapal dan syiling perak.[16]
Walaupun biasanya disebut ringkas dalam kebanyakan buku sejarah, tempoh pengaruh Buddha selama 1,400 tahun mempunyai kepentingan asas dalam sejarah Maldives. Dalam tempoh inilah, budaya Maldives yang masih ada hingga kini berkembang. Bahasa Maldives, tulisan awal, seni bina, institusi pemerintahan, adat resam dan adab orang Maldives berasal pada tempoh Buddha.[17]
Kepentingan orang Arab selaku pedagang di Lautan Hindi pada abad ke-12 secara sebahagian mungkin dapat menjelaskan penukaran agama raja Buddha terakhir, Dhovemi kepada agama Islam pada tahun 1153 (atau 1193). Dengan gelaran Muslim Sultan Muhammad al-Adil, baginda memulai zaman enam dinasti Islam yang memerintah hingga 1932, ketika kesultanan sebaliknya dilantik melalui pemilihan.
Kepulauan ini merupakan tumpuan banyak pedagang kerana adanya banyak kulit siput biya yang dijadikan barangan mata wang di serata Asia dan timur Afrika, terutamanya Kesultanan Benggala. Kulit-kulit siput ini sering ditukarkan dengan beras untuk kegunaan masyarakat setempat.[18]
Pada 1558, pihak Portugis mendirikan pengaruh di Maldives, dengan kawalan dari tanah jajahan utama di Goa. Usaha mereka untuk menyebarkan agama Kristian menerbitkan pemberontakan yang dipimpin oleh Muhammad Thakurufaanu al-Auzam dan dua saudaranya 15 tahun kemudian yang berjaya mengusir pihak Portugis; peristiwa ini sekarang diperingati sebagai Hari Nasional.[19]
Pada pertengahan abad ke-17, Belanda yang menggantikan Portugis sebagai kekuatan dominan di Ceylon, mendirikan hegemoni atas urusan Maldives tanpa melibatkan diri secara langsung dalam urusan tempatan yang diatur menurut adat Islam yang sudah berusia berabad-abad.
British pula mengusir Belanda dari Ceylon pada 1796, dan memasukkan Maldives sebagai tanah naungan British. Status Maldives sebagai tanah naungan dirasmukan tercatat dalam perjanjian 1887, di mana sultan Muhammad Mueenuddeen II yang menerima pengaruh British ke atas hubungan dan pertahanan luar Maldives, sambil tetap mempertahankan pemerintahan dalam negeri yang terus diatur oleh warga Muslim melalui institusi tradisional dengan bayaran ufti tahunan. Status pulau-pulau itu mirip dengan tanah naungan lain di wilayah Lautan Hindi.
Negara ini merdeka dari taklukan British tahun 1968 masih memelihara sistem kesultanannya,[20] dengan Muhammad Fareed Didi sebagai ketua negara bergelar "raja" dan Ibrahim Nasir sebagai perdana menteri. Namun, kesultanan Maldives hanya bertahan selama tiga tahun dan kemudian dihapuskan serta diganti menjadi republik berikutan suatu pungutan suara dibuat tahun 1968 di mana 81.23% menyatakan setuju pemansuhan menjadi suatu republik.[20][21]
Pemerintahan Ibrahim Nasir mula dikecam kerana sifat kuku besinya sehinggakan ada warga Atol Addu yang mengisytiharkan diri merdeka membentuk Republik Suvadive Syarikat yang bertujuan menjalinkan hubungan rapat dengan pihak British.[22]
Sektor pelancongan mula dikembangkan pada tahun 1970-an; resort pelancongan pertama di kepulauan tersebut, Kurumba Maldives mula dibuka pada 3 Oktober 1972.
Rencana utama: Geografi Maldives |
Kepulauan Madlives terdiri daripada 1,192 buah pulau karang yang tergolong dalam 26 buah atol yang bertaburan dalam kawasan kira-kira 90 ribu kilometer persegi. Negara ini terletak di antara garisan latitud 1°S dengan 8°U dan longitud 72° and 74°T.
Maldives ialah negara terendah di dunia secara geografi dengan ketinggian purata maksimum dan minimum masing-masing hanya 2.4 dan 1.5 meter di atas paras laut. Namun begitu, paras ini boleh bertambah sehingga mencecah beberapa meter di tapak pembinaan.
Geografi negara yang begitu rendah ini menyebabkan Maldives berisiko besar untuk tenggelam sepenuhnya akibat peningkatan paras laut. Pihak PBB memberi amaran bahawa peningkatan paras laut pada kadar terkini boleh menyebabkan Maldives tidak dapat dihuni menjelang tahun 2100.[23][24]
Selain masalah kenaikan paras laut, kecurian pasir pantai serta masalah sistem pembuangan sampah ialah masalah-masalah alam sekitar yang wujud di Maldives. Walaupun perairan Maldives adalah bersih secara keseluruhan, kebanyakan sampah dari Malé dan resort-resort lain hanya dibuang di Thilafushi.[25]
Maldives memiliki iklim monsun tropika dengan julat suhu harian yang tidak ketara. Kepulauan ini mengalami monsun barat daya dari bulan Jun hingga Ogos dan monsun timur laut dari November hingga Mac. Taburan hujan purata tahunan negara ialah 2,540 mm di utara dan 3,810 mm di selatan.[26]
Data iklim untuk Malé (1981–2010) | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) | 30.3 (86.5) |
30.7 (87.3) |
31.4 (88.5) |
31.6 (88.9) |
31.2 (88.2) |
30.6 (87.1) |
30.5 (86.9) |
30.4 (86.7) |
30.2 (86.4) |
30.2 (86.4) |
30.1 (86.2) |
30.1 (86.2) |
30.6 (87.1) |
Purata suhu harian, °C (°F) | 28.0 (82.4) |
28.3 (82.9) |
28.9 (84.0) |
29.2 (84.6) |
28.8 (83.8) |
28.3 (82.9) |
28.2 (82.8) |
28.0 (82.4) |
27.8 (82.0) |
27.8 (82.0) |
27.7 (81.9) |
27.8 (82.0) |
28.2 (82.8) |
Purata minimum suhu harian, °C (°F) | 25.7 (78.3) |
25.9 (78.6) |
26.4 (79.5) |
26.8 (80.2) |
26.3 (79.3) |
26.0 (78.8) |
25.8 (78.4) |
25.5 (77.9) |
25.3 (77.5) |
25.4 (77.7) |
25.2 (77.4) |
25.4 (77.7) |
25.8 (78.4) |
Purata curahan hujan, mm (inci) | 114.2 (4.50) |
38.1 (1.50) |
73.9 (2.91) |
122.5 (4.82) |
218.9 (8.62) |
167.3 (6.59) |
149.9 (5.90) |
175.5 (6.91) |
199.0 (7.83) |
194.2 (7.65) |
231.1 (9.10) |
216.8 (8.54) |
1,901.4 (74.86) |
Purata bilangan hari kerpasan (≥ 1.0 mm) | 6 | 3 | 5 | 9 | 15 | 13 | 12 | 13 | 15 | 15 | 13 | 12 | 131 |
Purata kelembapan relatif (%) | 78.0 | 77.0 | 76.9 | 78.1 | 80.8 | 80.7 | 79.1 | 80.5 | 81.0 | 81.7 | 82.2 | 80.9 | 79.7 |
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari | 248.4 | 257.8 | 279.6 | 246.8 | 223.2 | 202.3 | 226.6 | 211.5 | 200.4 | 234.8 | 226.1 | 220.7 | 2,778.2 |
Sumber 1: World Meteorological Organization[27] | |||||||||||||
Sumber 2: NOAA[28] |
Rencana utama: Demografi Maldives |
Jumlah penduduk Maldives dianggarkan ialah 341,356 orang pada 2014.[29]
Rencana utama: Islam di Maldives |
Kini, Islam ialah agama utama rata-rata semua penduduk Maldives memandangkan pengangan Islam ialah syarat dalam kelayakan kewargananegaraan Maldives.
Pada asalnya, kepulauan Maldives mempunyai pengaruh Buddha,[30] tetapi bertukar kepada kawasan pengaruh Islam apabila agama Islam dibawa oleh para pedagang pada abad ke-12.
Bahasa rasmi Maldives ialah Bahasa Divehi, sejenis bahasa Indo-Arya. Bahasa Inggeris juga banyak ditutur dalam kalangan masyarakat Maldives.[31]
Pintu masuk utama negara ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Velana yang terletak berdekatan Malé. Perjalanan antara pulau-pulau Maldives boleh dilakukan dengan tiga cara, yakni melalui penerbangan domestik, kapal terbang laut atau kapal biasa.[32]
Ketahui lebih lanjut tentang Maldives di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Berita dari Wikiberita | |
Petikan dari Wikipetikan | |
Teks sumber dari Wikisumber |
Senarai negara di benua Asia Selatan |
|
---|---|
Bangladesh · Bhutan · India · Maldives · Nepal · Pakistan · Sri Lanka |