Sulaiman Ninam Shah

SSM, PMN, PSM; SPMJ, SSIJ (Johor); JMN; PIS, BSI, JP (Johor)
Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah
Pengerusi Tetap UMNO
Dalam jawatan
1978 – 2003
(Memangku sejak 1976 sebelum dipilih)
Digantikan olehOnn Ismail
Butiran peribadi
Lahir2 Januari 1920
Sarang Buaya, Muar, Johor.
Meninggal dunia5 Julai 2003(2003-07-05) (umur 83)
Pantai Medical Centre, Kuala Lumpur
Parti politik Barisan Nasional
UMNO
PasanganToh Puan Rose Othman
Anak-anakSembilan
(Enam lelaki & tiga perempuan)
PekerjaanAhli Politik dan Perniagaan

Tun Sulaiman bin Ninam Shah (2 Januari 1920 – 5 Julai 2003) dilahirkan di Kampung Sarang Buaya, Muar, Johor, Malaysia daripada keturunan darah India Muslim (Mamak)-Melayu[1]. Sulaiman Ninam Shah merupakan seorang usahawan perniagaan yang berjaya, ahli veteran politik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi Parit Jawa (1959-1964) serta bekas Senator dan Speaker Dewan Negara. Beliau juga adalah salah seorang pengasas UMNO dan bekas Pengerusi Tetap UMNO (1976-2003)[2].

Keluarga

Sulaiman yang berkongsi hidup dengan Toh Puan Rose Othman sejak 1946 mempunyai sembilan anak, tiga darinya perempuan. Tujuh daripada mereka mewarisi minat utama beliau dengan melibatkan diri dalam perniagaan. Anak lelaki sulungnya, Datuk Kadar Shah Sulaiman mengikuti langkah bapanya di dalam pemilihan parti UMNO.

Kehidupan Awal

Sulaiman memasuki alam kerjaya sebagai seorang konstabel polis di Johor pada tahun 1939. Tiga tahun kemudian, semasa Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan Jepun, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Kenderaan Polis dan kemudiannya sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) untuk bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Muar sehingga Jepun menyerah kalah pada 1945. Pada tahun yang sama, Sulaiman mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membuka kedai akhbar, buku dan majalah di Muar. Tahun berikutnya, Sulaiman berjaya mendapat tender membekalkan makanan keperluan kepada Hospital Muar. Pada tahun 1970-an, beliau telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang membuka ladang kelapa sawit di Segamat.

Sulaiman kemudiannya dilantik menjadi pengerusi dan pengarah di beberapa buah syarikat ternama seperti Budget Rent-A-Car, Laksamana Tour, Top Coach Builder, Malacca-Singapore Ekspress, Pelaburan Johor Bhd., T & T Properties, Menara Landmark dan juga Bank Rakyat.[3]

Politik

Sulaiman mula menceburkan diri dalam politik sejak tahun 1946 lagi, ketika penubuhan UMNO. Pada pilihan raya umum kedua, iaitu pada tahun 1959, beliau yang dicalonkan di bawah Perikatan berjaya menewaskan calon Pas dengan majoriti 7,020 undi untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Parit Jawa. Kerjayanya sebagai wakil rakyat tidak dapat bertahan lama akibat serangan jantung ketika berumur 40 tahun, menyebabkan Sulaiman membuat keputusan menarik diri dari bertanding pada tahun 1964.

Bagaimanapun, beliau terus mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar sehingga 1967. Tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Pengerusi Tetap bahagian tersebut. Pada tahun 1976, Sulaiman mula memangku tugas sebagai Pengerusi Tetap UMNO walaupun beliau sebenarnya memegang jawatan timbalan. Beliau hanya dipilih secara rasmi pada tahun 1978 dan mengekalkan jawatan tersebut sehingga kematiannya.

Selain itu, Sulaiman pernah dilantik sebagai senator selama dua penggal mulai tahun 1979 di mana beliau turut dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negara pada penggal kedua.

Perniagaan

Dari segi kegiatan kemasyarakatan, Sulaiman banyak terlibat dalam persatuan-persatuan yang berkaitan dengan bidang perniagaan utama yang diceburinya iaitu pengangkutan. Antaranya ialah sebagai Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia dan ahli jawatankuasa Persatuan Pengusaha Pengangkutan Pan-Malayan.

Selain itu, beliau mengasaskan Dewan Perniagaan Melayu Cawangan Negeri Johor dan Rumah Anak-Anak Yatim Daerah Muar.

Berdasarkan jasa-jasa yang dicurahkannya kepada rakyat, parti dan negara, Sulaiman dikurniakan pingat Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun pada 2001[4]..

Kematian

Allahyarham meninggal dunia pada 5 Julai 2003, pukul 5.15 pagi setelah tidak sedarkan diri selepas menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur akibat sakit leukemia.

Beliau meninggalkan seorang balu, Toh Puan Rose Othman, sembilan orang anak terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan, 15 orang cucu dan dua cicit.

Jenazah Allahyarham dikafankan di rumah anak sulungnya, Datin Faridah di Petaling Jaya sebelum dibawa pulang ke rumah Allahyarham di Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor untuk disembahyangkan. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri selepas solat Asar[5].

Penglibatan Hayat

Anugerah dan Gelaran

Buku

Beliau tidak mensia-siakan pengalamannya yang panjang dan berharga bersama UMNO sebaliknya dihimpunkan dalam sebuah buku autobiografi bertajuk Tun Sulaiman Ninam Shah, Pengerusi Tetap UMNO[7]

Lihat Juga

Rujukan

  1. ^ Kimma, Kurma and Karma|BY Sheikh Moinudeen Chisti Syed Abdul Kadir|Wednesday, 05 March 2008
  2. ^ "Umno co-founder Sulaiman Ninam Shah gone but not forgotten|New Straits Times|07-06-2003|Byline: Zubaidah Abu Bakar|Edition: New Sunday Times; 2*|Section: Nation|Column: In passing". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-21. Dicapai pada 2010-03-27.
  3. ^ [http://www.able2act.com/extra/news/?module_instance=2&id=121659&nid= Biographies - Sulaiman Ninam Shah|Able2Act
  4. ^ The Star - King's birthday honours list, 2 June 2001.
  5. ^ Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah, meninggal dunia|Bernama|Saturday, July 05|Topic: Utama|MyKMU.net
  6. ^ Biographies - Sulaiman Ninam Shah|Able2Act
  7. ^ Ninam Shah, Sulaiman, Tun (2002), The UMNO Permanent Chairman, Utusan Publications & Distributors, m/s. xi, 298 p., ISBN 9789676113320